You are currently viewing Teori Perkembangan Psikoseksual Freud

Teori Perkembangan Psikoseksual Freud

Teori Perkembangan Psikoseksual telah diperkenalkan oleh Sigmund Freud. Teori ini merupakan salah satu daripada teori psikodinamik yang menjelaskan bahawa tingkah laku manusia adalah dipengaruhi oleh pemikiran sedar (conscious), separa sedar (half conscious), dan bawah sedar (unconscious).

Freud berpendapat bahawa faktor seksual berupaya mempengaruhi perubahan tingkah laku perkembangan personaliti manusia. Pengalaman bawah sedar yang dialami oleh seseorang sebelum berumur lima tahun merupakan faktor yang paling berpengaruh dalam pembentukan personalitinya.

Terdapat lima tahap perkembangan yang dikemukakan dalam Teori Perkembangan Psikoseksual.

1. ORAL (LAHIR HINGGA 1 TAHUN)

Berdasarkan Teori Perkembangan Psikoseksual Freud, kanak-kanak peringkat ini mendapat kepuasan daripada aktiviti di sekitar mulut seperti menghisap, menelan, menggigit dan mengunyah makanan. Mereka yang tidak mendapat kepuasan pada peringkat ini dianggap terlekat (fixated) dan ini akan mempengaruhi personaliti orang tersebut. Freud membahagikan tindakan menyusu kepada dua bahagian, iaitu oral incorporative dan oral aggresive.

Oral incorporative merujuk kepada tahap penyusuan daripada lahir hingga tumbuh gigi. Orang dewasa yang mengalami lekatan pada peringkat ini berkecenderungan untuk makan dan minum dengan lebih banyak, suka mengunyah atau bercakap banyak.

Oral aggresive merujuk kepada apabila bayi tumbuh gigi dan mula menggigit. Apabila dimarahi kerana menggigit puting buah dada ibunya, dia berkemungkinan akan mengalami lekatan pada tahap itu. Pada peringkat dewasa nanti, mereka berkecenderungan memperlihatkan sifat suka berleter, menyindir, mengumpat atau bermulut bisa.

2. ANAL (1 HINGGA 3 TAHUN)

Peringkat kedua dalam Teori Perkembangan Psikoseksual Freud menjelaskan bahawa kanak-kanak menumpukan perhatian pada proses pembuangan air besar dan air kecil, iaitu aktiviti di sekitar dubur (anal). Jika ibu bapa menggunakan cara paksaan sedangkan kanak-kanak belum bersedia, kanak-kanak yang terlekat pada peringkat ini akan mempunyai trait personaliti seperti kelam-kabut, tidak berdisiplin dan suka membazir. Kanak0kanak yang diberi perhatian berlebihan oleh ibu bapan disebabkan takut rumah menjadi kotor berkecenderungan memiliki trait personaliti seperti terlalu pembersih, kedekut atau degil.

3. FALIK (3 HINGGA 6 TAHUN)

Peringkat ketiga dalam Teori Perkembangan Psikoseksual Freud ialah falik. Pada peringkat ini, kanak-kanak menyedari perbezaan peranan antara lelaki dan perempuan. Kanak0kanak peringkat ini juga suka bermain dengan alat jantinanya. Sekiranya diejek dan dimalukan kerana perbuatan memegang alat jantinanya, hal ini berkemungkinan menyebabkan kanak-kanak terlekat pada tahap ini dan berasa takut alat kemaluannya dipotong (astrated), manakala kanak-kanak perempuan akan membentuk perasaan iri hati terhadap alat jantina budak lelaki (penis envy). 

Pada peringkat ini, kanak-kanak berkecenderungan mengalami oedipus complex, iaitu lebih tertarik dan menyayangi ibunya tetapi berasa takut terhadap bapanya. Kanak-kanak perempuan pula berkecenderungan akan mengalami konflik yang dinamakan electra complex, iaitu lebih tertarik dan menyayangi bapanya tetapi takut terhadap ibunya. 

Untuk mengatasi konflik ini, kanak-kanak akan menggunakan kaedah helah bela diri identifikasi. Kanak-kanak lelaki akan identifikasi dirinya sebagai bapanya manakala kanak-kanak perempuan identifikasi dirinya sebagai ibunya dengan menyamakan diri mereka dengan cara pemakaian, tutur kata dan gaya hidup yang dipamerkan ibu atau bapa mereka.

4. LATENSI (6 HINGGA 12 TAHUN)

Berdasarkan Teori Perkembangan Psikoseksual, peringkat keempat ialah latensi. Kanak-kanak akan mengalihkan punca keseronokan kepada bermain dengan rakan sebaya di luar kawasan rumah. Kanak-kanak perempuan cenderungan bermain dengan rakan sebaya perempuan dalam permainan seperti masak-masak, anak patung, memberi pakaian kepada anak patung atau permainan perkahwinan. Oleh itu, kanak-kanak lelaki akan memperkuatkan lagi sifat maskulin dan kanak-kanak perempuan pula memperteguhkan lagi sifat feminim mereka.

5. GENITAL (12 TAHUN KE ATAS)

Peringkat kelima ialah peringkat genital. Peringkat ini juga merujuk kepada peringkat di mana kanak-kanak mencapai akil baligh dan tertarik dengan individu yang berlainan jantina. Remaja akan menyediakan diri untuk menjadi orang dewasa yang dapat berfungsi dan menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Kegagalan dalam fasa ini berkemungkinan menyebabkan krisis kecelaruan identiti.