You are currently viewing Teori Perkembangan Moral Kohlberg

Teori Perkembangan Moral Kohlberg

Lawrence Kohlberg (1969) merupakan pakar psikologi daripada Universiti Harvard dan mengembangkan teori beliau daripada Teori Perkembangan Kognitif Piaget. Kohlberg berpendapat bahawa tahap-tahap perkembangan kajian Piaget adalah terbatas kepada usia dan tidak mengkaji perkembangan kecerdasan kanak-kanak.

Berdasarkan Teori Perkembangan Moral Kohlberg (1987), terdapat tiga peringkat utama perkembangan moral, iaitu prakonvensional, konvensional, dan prekonvensional. Setiap peringkat mengandungi dua tahap perkembangan moral.

1. Peringkat Prakonvensional

    • Tahap Dendaan dan Kepatuhan (Punishment and Obedience)
    • Tahap Ganjaran Peribadi (Instrumental Relativist

2. Peringkat Konvensional

    • Tahap Harmoni antara Peribadi (Good Boy – Nice Girl)
    • Tahap Undang-Undang dan Peraturan (Social Order Maintenance)

3. Peringkat Poskonvensional

    • Tahap Kontrak Sosial (Social Contract)
    • Tahap Prinsip Etika Sejagat (Universal Ethical Principle)

1. PERINGKAT PRAKONVESIONAL

Kohlberg berpendapat perkembangan moral adalah bergantung kepada faktor-faktor luaran. Pada peringkat ini, tingkah laku individu dinilai berdasarkan ganjaran dan hukuman yang akan diterima akibat perlakuan tersebut. Individu masih belum memahami tentang peraturan dan tanggapan masyarakat terhadap kelakuan

A. Tahap Dendaan dan Kepatuhan

Pada tahap pertama, jangkaan individu boleh dilihat pada kanak-kanak yang berumur 4 tahun dimana penilaian mereka bergantung kepada kesan fizikal yang akan dikenakan terhadap mereka. Maka, moraliti individu terbentuk berasaskan kepada prinsip hedonism, iaitu mengelak daripada kesakitan atau dendaan.

Kepatuhan kanak-kanak terhadap satu set peraturan yang ditetapkan ataupun kepatuhan kepada orang dewasa adalah untuk mengelakkan daripada dikenakan hukuman atau dendaan sahaja. Mereka belum mempunyai kebolehan untuk menilai sesuatu dari segi tujuan tetapi lebih tertumpu kepada akibat yang akan diterima. Kanak-kanak juga masih tidak dapat membezakan perkara yang betul atau salah.

B. Tahap Ganjaran Peribadi

Tahap kedua dalam peringkat prekonvensional menumpukan kepada kehendak dan perasaan sendiri. Sesuatu perkara dinilai sebagai baik atau buruk berdasarkan penilaian terhadap kesan ke atas diri mereka. Tahap ini juga dikenali sebagai utilitarian hedonism, iaitu seseorang menilai untuk melakukan sesuatu berdasarkan keinginan untuk mendapatkan ganjaran atau balasan yang baik.

Motif utama seseorang adalah untuk memuaskan keperluan diri sendiri dan tidak mempedulikan keperluan orang lain. Hal ini bermaksud perkara yang dapat memuaskan hati, menggembirakan atau memberi keselesaan terhadap diri mereka adalah dinilai sebagai tindakan yang baik, manakala perkara yang memberikan kesan negatif terhadap diri mereka adalah dinilai sebagai tindakan yang buruk.

Pada tahap ini, prinsip keadilan yang terbentuk dalam diri kanak-kanak ialah sekiranya sesuatu perkara berlaku kepada kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh, tindakan individu A mencubit individu B, maka untuk bertindak secara adil, individu B dibenarkan untuk mencubit individu A.

2. PERINGKAT KONVESIONAL

Berdasarkan peringkat konvensional dalam Teori Perkembangan Moral Kohlberg, individu sudah mula mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh ibu bapa, guru dan komuniti. Individu berupaya menerima standard atau norma-norma masyarakat tanpa banyak tentangan.

C. Tahap Harmoni antara Peribadi

Pada peringkat ini, orientasi moraliti telah berubah kepada social order dan social role taking perspective, iaitu individu cuba membayangkan perasaan orang lain sekiranya individu mengalami kejadian yang sama seperti tayar keretanya dibocorkan. Kanak-kanak juga mula bersifat empati terhadap perasaan orang lain.

Moraliti seseorang yang berada pada tahap ini dikatakan sudah boleh menerima norma masyarakat. Sesuatu tindakan yang dilakukan akan dinilai sebagai baik atau buruk berdasarkan sokongan atau persetujuan orang lain. Pada peringkat ini, ciri utama yang ditunjukkan ialah kecenderungan untuk menolong atau lebih dikenali dengan sifat alturistik. Menolong orang lain yang berada dalam kesusahan atau menyiapkan kerja dianggap sebagai tindakan yang baik.

Perlakuan yang baik ditafsirkan sebagai disukai oleh orang lain dan mereka akan berkelakuan baik untuk mendapat ganjaran atau pujian daripada orang lain. Sebagai contoh, gelaran budak baik ini penting kerana sikap ini diutamakan dalam kumpulan rakan sebaya.

D. Tahap Undang-Undang dan Peraturan

Individu biasanya merujuk kepada norma-norma masyarakat, peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Orientasi undang-undang dan peraturan merujuk kepada kesanggupan melakukan sesuatu tanggungjawab dalam masyarakat dan mematuhi peraturan sosial yang telah sedia ada.

Perlakuan yang baik pada peringkat ini ialah perlakuan yang boleh membawa kepada ketenteraman dan keharmonian kelompok. Individu pada peringkat ini mempunyai tanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan undang-undang dan peraturan dalam sesebuah masyarakat bagi mengelakkan berlakunya keadaan huru-hara dan perpecahan dalam sistem tersebut.

3. PERINGKAT POSKONVESIONAL

Berdasarkan peringkat konvensional dalam Teori Perkembangan Moral Kohlberg, individu sudah mula mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh ibu bapa, guru dan komuniti. Individu berupaya menerima standard atau norma-norma masyarakat tanpa banyak tentangan.

E. Orientasi Kontrak Sosial

Tingkah laku moral adalah berteraskan kepada kepentingan sosial dan perjuangan ke arah kedaulatan masyarakat. Pemikiran moral pada tahap ini lebih menitikberatkan usaha-usaha mempertahankan hak-hak asasi, nilai-nilai seperti nilai kesaksamaan dan sebarang kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama dalam masyarakat.

Peraturan dan undang-undang yang digubal adalah hasil persetujuan orang ramai dan boleh membawa kebaikan kepada masyarakat. Mereka juga mengakui bahawa peraturan yang digubal adalah bersifat fleksibel dan boleh diubah sekiranya bertentangan dengan norma masyarakat atau apabila tidak diperlukan lagi bagi menjamin kesejahteraan manusia.

F. Orientasi Prinsip Etika Sejagat

Peringkat ini merupakan peringkat yang tertinggi dalam pemikiran moral seseorang kerana melibatkan soal falsafah moral. Pegangan moral yang dianggap betul adalah ditentukan berdasarkan satu prinsip pilihan sendiri yang sesuai untuk semua manusia sejagat tanpa mengira masa dan keadaan. Prinsip yang diterima pada peringkat ini bukan semata-mata berdasarkan penerimaan sosial sahaja, tetapi adalah prinsip-prinsip yang perlu ada dalam masyarakat seperti prinsip keadilan, persamaan hak dan menghormati maruah individu.

Individu pada peringkat ini menunjukkan ciri-ciri tingkah laku moral berasaskan kesedaran kendiri yang meletakkan nyawa manusia, keadilan dan maruah pada peringkat tertinggi. Kohlberg menyatakan bahawa individu pada peringkat ini melanggar undang-undang bukan kerana tidak menghormatinya tetapi disebabkan oleh rasa tanggungjawab dari segi prinsip etika hak-hak kemanusiaan.

Apabila sesuatu undang-undang itu dilanggar, seseorang itu akan bertindak mengikut prinsip tersebut dan mereka juga sanggup menerima hukuman secara rela terhadap kesalahan yang dilakukan kerana menghormati undang-undang yang telah ditetapkan. Oleh itu, adalah menjadi kesalahan yang besar sekiranya menggunakan manusia untuk mencapai matlamat yang tidak adil, sebaliknya setiap manusia mesti dihormati dalam segala aspek.