You are currently viewing Teori Perkembangan Moral Piaget

Teori Perkembangan Moral Piaget

Jean Piaget yang terkenal dengan Teori Perkembangan Kognitif turut mengkaji mengenai penaakulan moral kanak-kanak. Dalam buku beliau, ‘The Moral Judgement of the Child’, Piaget menyatakan bahawa semua tingkah laku moral terkandung dalam satu sistem peraturan. Oleh itu, Piaget menganggap tindakan moral dikaitkan dengan keadilan dan saksama.

Teori Perkembangan Moral yang diperkenalkan oleh Jean Piaget adalah berdasarkan pemerhatian semula jadi terhadap kanak-kanak. Beliau memerhatikan bahawa kanak-kanak yang lebih muda menganggap peraturan permainan tidak boleh diubah kerana telah ditentukan oleh orang yang berautoriti. Namun begitu, selepas umur lapan tahun, kanak-kanak faham bahawa peraturan boleh diubah sekiranya terdapat persetujuan untuk mengubahnya.

Berdasarkan pemerhatian, Piaget membahagikan penaakulan moral kepada dua peringkat, iaitu moraliti luaran dan moraliti dalaman.

  • Tahap Pertama: Moraliti Luaran (Heteronomous Morality atau Moral Realism)
  • Tahap Kedua: Moraliti Dalaman (Autonomous Morality atau Moral Relativism)

1. MORALITI LUARAN

Pada tahap pertama Teori Perkembangan Moral Piaget, kanak-kanak mempercayai peraturan datang daripada ibu bapa atau orang lain yang mempunyai autoriti lain. Peraturan juga dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah. Pada tahap ini, kanak-kanak hanya dapat melihat sesuatu peraturan dari satu pandangan sahaja.

  • Bermain mengikut peraturan
  • Semua mesti mengikut peraturan yang sama
  • Peraturan ditetapkan oleh orang berkuasa, autoriti yang tidak boleh dipersoalkan
  • Menurut perintah adalah kanak-kanak yang baik, manakala tidak menurut perintah dianggap tidak baik
  • Baik disamakan dengan menurut perintah dan akur kepada peraturan

Kanak-kanak akan menilai sesuatu tindakan melalui akibat yang akan berlaku. Sebagai contoh, kanak-kanak mengemaskan barang mainan disebabkan takut dimarahi ibu bapa. Mereka sukar mengubah sesuatu peraturan dan mementingkan akibat yang akan diterima daripada sesuatu perbuatan.

2. MORALITI DALAMAN

Pada tahap kedua Teori Perkembangan Moral Piaget, kanak-kanak sudah mula kurang egosentrik dan peraturan tidak dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah. Kanak-kanak mula menyedari bahawa peraturan dan undang-undang adalah dicipta oleh manusia dan bukannya sesuatu yang mutlak, maka kanak-kanak mula menilai sesuatu perlakuan moral berdasarkan niat, perasaan, keadilan dan akibat.

  • Peraturan boleh berubah jika semua pihak bersetuju untuk membuat demikian
  • Peraturan direka oleh manusia, sama seperti sifat dirinya
  • Memahami bahawa individu boleh berbincang untuk menyelesaikan masalah dengan menukar atau mengubah peraturan yang ditetapkan
  • Penaakulan moral bersarkan tujuan dalaman di sebalik tindakan.

Menurut Piaget, perkembangan kognitif kanak-kanak mempunyai pengaruh terhadap perkembangan moral mereka. Salah satu faktor adalah berkaitan dengan pemikiran egosentrik kanak-kanak yang hanya dapat fokus kepada satu isu atau perkara sahaja pada sesuatu masa.

Melalui peredaran masa, kanak-kanak mampu melihat dunia daripada sudut orang lain, mereka bersedia mendengar dan menerima padangan orang lain. Perubahan ini berlaku apabila kanak-kanak berkembang dan pemikirannya menjadi matang. Hal ini menyebabkan berlakunya transisi, iaitu beralih daripada peringkat moraliti luaran kepada moraliti dalaman.