Table of Contents
Piaget percaya bahawa pemikiran kanak-kanak berkembang mengikut satu siri peringkat yang kompleks dan saling berkait antara satu sama lain. Terdapat empat peringkat Teori Perkembangan Kognitif Piaget, iaitu:
- Tahap Sensori Motor (Sejak Lahir Hingga 2 Tahun)
- Tahap Praoperasi (2 Hingga 7 Tahun)
- Tahap Operasi Konkrit (7 Hingga 11 Tahun)
- Tahap Operasi Formal (11 Tahun Hingga Zaman Remaja)
1. TAHAP SENSORI MOTOR (SEJAK LAHIR HINGGA 2 TAHUN)
Perkembangan kognitif peringkat sensori motor bergantung kepada penggunaan deria dan kemahiran motor yang ada (melihat, mendengar, menyentuh, merasa). Kanak-kanak belajar dengan mengkoordinasi maklumat deria dengan kebolehan motor untuk membentuk skema yang membolehkan mereka meneroka dan memahami dunia persekitarannya. Piaget telah membahagikan tahap sensori motor kepada 6 peringkat dimana berlakunya pertumbuhan bayi yang pesat daripada ‘reflexive’ kepada ‘reflective’.
A. REFLEKS
Bayi yang berada dalam linkungan umur satu bulan (refleks) hanya mampu melakukan gerakan pantulan seperti menghisap, memandang, mencapai, merasa, memegang serta menggerakkan tangan dan kaki.
B. REAKSI ASAS SEKULAR
Bayi yang berumur sebulan hingga 4 bulan (reaksi asas sekular) membentuk tingkah laku mereka melalui pengalaman. Sebagai contoh, bayi yang terdengar sesuatu bunyi akan menggerakkan kepala dan matanya ke arah punca sumber bunyi. Bayi yang menghisap jari atau kaki akan mengulang tindakan tersebut sekiranya difikirkan tindakan yang baik.
C. REAKSI SEKULAR KEDUA
Bayi yang berumur 4 hingga 8 bulan (reaksi sekular kedua) berupaya membuat tanggapan tentang objek yang berada dalam tangannya dan membezakan objek-objek yang terdapat di persekitarannya. Sebagai contoh, kita boleh perhatikan bayi tertarik dengan objek yang berwarna-warni atau objek yang mengeluarkan bunyi dan cuba mencapainya untuk dipegang atau dimasukkan ke dalam mulut untuk mengetahui dan mengenali objek tersebut.
Pada peringkat awal ini, bayi belum mempunyai deria terhadap pengekalan objek (object permanence), iaitu suatu keadaan di mana objek-objek memang wujud walaupun tidak dapat dilihat oleh bayi. Bayi tidak mengetahui bahawa objek yang hilang daripada penglihatan mereka sebenarnya masih wujud walaupun tidak dapat dilihat oleh deria mata mereka. Sebagai contoh, bayi yang berumur sebelum sembilan bulan tidak akan mencari objek yang tidak kelihatan walaupun bayi telah melihat objek tersebut sebelum ini.
D. REAKSI KOORDINASI
Bayi yang berada dalam lingkungan umur 8 hingga 12 bulan (reaksi koordinasi) mula mengalami perkembangan kognitif dan membentuk kebolehan mental yang asas. Bayi sudah mengetahui sebab dan akibat sesuatu keadaan yang berlaku. Sebagai contoh, apabila bayi menggoncangkan sesuatu alat permainan, alat permainan tersebut akan berbunyi. Pada peringkat ini juga, bayi sudah membentuk deria terhadap pengekalan objek dan akan mencari objek yang tersembunyi ataupun pernah dilihatnya.
E. REAKSI SEKULAR KETIGA
Bayi yang berumur 12 hingga 18 bulan (reaksi sekular ketiga) membentuk skema baharu menggunakan kaedah cuba jaya (eksperimen) dengan menunjukkan tingkah laku yang berlainan. Bayi boleh memikirkan sesuatu dan merancang tindak balasnya dengan memikirkan tentang objek dan dikaitkan dengan peristiwa/pengalaman. Sebagai contoh, bayi akan mencuba pelbagai bunyi dan tingkah laku untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa. Bayi juga boleh bertindak membaling bola menggunakan tenaga yang berlainan untuk melihat arah dan pergerakan bola tersebut. Peringkat ini membantu bayi untuk memahami konsep sebab dan akibat dan bagaimana tingkah laku mereka boleh mempengaruhi sesuatu peristiwa.
F. PENGGAMBARAN PEMIKIRAN AWAL
Bayi yang berumur 18 bulan hingga 2 tahun (penggambaran pemikiran awal) sudah boleh menggunakan simbol dan bahasa untuk mengolah tentang sesuatu peristiwa atau orang. Bayi juga menggunakan cara meniru watak di pesekitarannya untuk membentuk bahasa dan bunyi-bunyian yang didengari dari persekitaran digunakan untuk membentuk bahasa awal. Bayi juga menunjukkan kemahiran membuat perwakilan mental, iaitu keupayaan membentuk gambar atau objek dalam minda sendiri walaupun objek sebenar tidak terdapat di sekeliling mereka. Sebagai contoh, bayi menunjukkan tingkah laku berpura-pura menyuap makanan kepada patung ataupun menggunakan pisang sebagai telefon.
2. TAHAP PRAOPERASI (2 HINGGA 7 TAHUN)
Tahap praoperasi merupakan peringkat permulaan pembinaan konsep, iaitu kanak-kanak sudah berupaya mengaitkan perkataan/ lambang dengan benda-benda yang terdapat di persekitarannya. Kanak-kanak membina perwakilan mental secara aktif dan menggunakan simbol-simbol dalam pemikiran mereka yang merupakan pemikiran bukan benar, iaitu prakonsep.
Kanak-kanak mempunyai keupayaan membuat perwakilan mental terhadap benda-benda yang tidak kelihatan di depan matanya. Kanak-kanak telah boleh bertutur dengan fasih. Sebagai contoh, kanak-kanak boleh menyebut ‘susu’ yang merujuk kepada permintaan susu, walaupun susu tidak kelihatan. Mereka juga boleh menggunakan simbol untuk mewakili sesuatu benda, contohnya huruf ‘A’ dikaitkan dengan gambar ayam.
Keupayaan pemikiran secara perwakilan dan simbol bermaksud kanak-kanak mempunyai kesediaan untuk berkomunikasi secara verbal. Pembinaan konsep adalah dengan melalui intuisi dengan menggunakan penaakulan primitif. Piaget menggunakan istilah ‘intuitive’ disebabkan kanak-kanak kelihatan seolah-olah kanak-kanak amat yakin dengan perkara yang mereka tahu walaupun mereka kurang sedar mengenai penggunaan pemikiran rasional. Dengan menggunakan penaakulan primitif, kanak-kanak menganggap dirinya mengetahui jawapan kepada semua perkara. Mereka mempunyai sikap ingin tahu, suka bercakap dan bertanya.
Walaupun kanak-kanak mempamerkan perkembangan kognitif yang nyata melalui fikiran imaginatif, lukisan, contengan dan lakaran yang mewakili objek di persekitaran mereka, namun pemikiran mereka masih dihadkan oleh dua perkara, iaitu animisme dan egosentrisme.
Animisme merupakan ciri yang diperhatikan dalam diri kanak-kanak praoperasi, iaitu kanak-kanak percaya bahawa objek-objek juga bernyawa serta mempunyai ciri-ciri manusia seperti perasaan dan pemikiran. Sebagai contoh, apabila hujan turun, kanak-kanak mengatakan matahari sangat sedih lalu menyembunyikan diri dan menangis.
Komunikasi yang berlaku juga boleh bersifat egosentrik, iaitu kanak-kanak belum dapat membezakan antara pandangan sendiri dengan pandangan orang lain. Kanak-kanak yang egosentrik bercakap mengikut mindanya dengan tidak mempedulikan apa yang disebut oleh orang lain.
Berdasarkan hasil eksperimen Ujian Tiga Bukit (Three-Mountain Test) untuk meneroka unsur egosentrisme, Piaget dan Inhelder (1969) mendapati bahawa sifat pemikiran yang berkaitan dengan egosentrisme ialah centration atau pemusatan, iaitu perhatian difokuskan kepada satu ciri objek/peristiswa, tetapi ciri-ciri lain diabaikan. Sebagai contoh, kanak-kanak berfikir bahawa anak patung dapat melihat objek yang sama seperti apa yang dilihatnya. Hal ini menjelaskan sebab kanak-kanak praoperasi masih belum mempunyai konsep kekekalan isipadu, ruang dan nombor dalam eksperimen yang dilaksanakan oleh Piaget.
3. TAHAP OPERASI KONKRIT (7 HINGGA 11 TAHUN)
Pada tahap ini, pemikiran intuitif yang terbentuk semasa tahap praoperasi adalah digantikan dengan penaakulan logik. Kanak-kanak dapat memanipulasi dan membentuk perwakilan mental secara dalaman. Mereka mempunyai pelbagai pemikiran dan memori tentang objek-objek yang konkrit seperti komputer, perabot dan benda-benda maujud.
Kanak-kanak tidak lagi bersifat egosentrik dan berupaya menerima pandangan orang lain. Namun demikian, penguasaan penaakulan logik adalah terikat kepada pengalaman deria dan motor yang bersifat konkrit sahaja. Sekiranya kanak-kanak dipersembahkan dalam bentuk abstrak, kanak-kanak masih akan mengalami kekeliruan.
Kanak-kanak pada tahap ini memiliki pemikiran decentered ialah keupayaan memahami bahawa persepsi orang lain adalah berlainan dengan mereka dan berupaya memberi perhatian kepada semua aspek, iaitu tidak hanya terhad kepada satu aspek sahaja (centration). Pada peringkat ini, kanak-kanak dapat memberi tumpuan kepada sesuatu masalah dengan mengambil kira lebih dari dua ciri secara serentak dalam masalah tersebut, iaitu ketinggian dan isi padu.
Kanak-kanak didapati berupaya untuk menguasai konsep keabadian berdasarkan eksperimen Piaget (1970) yang mengkaji kekekalan isipadu cecair, pepejal, nombor dan ruang. Berdasarkan eksperimen menuangkan kuantiti air yang sama ke dalam bentuk cawan yang mempunyai ukuran yang berlainan, kanak-kanak didapati berupaya menyimpulkan bahawa kuantiti air tidak berubah walaupun bentuk cawan berubah.
Kajian Piaget turut mendapati kanak-kanak peringkat operasi konkrit sudah berupaya menguasai konsep kebalikan (reversibility). Hasil kajian Piaget turut mendapati kanak-kanak menyatakan bahawa isipadu yang dituang balik ke cawan asal tetap mempunyai aras ketinggian yang sama.
4. TAHAP OPERASI FORMAL (11 TAHUN HINGGA ZAMAN REMAJA)
Tahap operasi formal bermula dari umur 11 atau 12 tahun sehingga zaman remaja. Satu ciri utama yang menandakan remaja sudah mencapai peringkat perkembangan operasi formal ialah keupayan mereka untuk berfikir secara saintifik, menaakul secara abstrak, bersifat idealistik dan logikal serta menunjukkan minat terhadap isu-isu sosial dan identiti diri.
Remaja boleh menggunakan simbol-simbol abstrak seperti untuk mewakili sesuatu nombor ketika mempelajari topik algebra dan kalkulus. Remaja juga mempunyai kebolehan untuk menaakul secara hipotetik-deduktif, iaitu keupayaan membentuk hipotesis dan menguji kesahihan hipotesis yang terbentuk atau bertujuan untuk membuktikan teori dan hukum matematik.
Remaja dapat membuat pemikiran metakognitif, sentiasa menganalisis pemikiran sendiri, membuat penilaian dan mencari ketidakseragaman dalam prinsip-prinsip tertentu. Mereka boleh membuat analogi dan metafora mengenai karya-karya sastera atau kata-kata hikmah.
Pada tahap ini, remaja juga sering memikirkan mengenai masa depan dan cuba menentukan sesuatu yang terbaik. Perasaan tentang sesuatu idea adalah amat kuat sehingga membawa kepada kekeliruan, dimana remaja tidak dapat membezakan antara pemikiran sendiri dengan pemikiran orang lain. Kekeliruan ini adalah dikenali sebagai egosentrisme dewasa.