You are currently viewing Teori Perkembangan Arnold Gesell

Teori Perkembangan Arnold Gesell

Arnold Gesell merupakan seorang ahli psikologi yang menekankan baka (genetic) sebagai penggerak utama terhadap perkembangan seseorang individu. Gesell mempercayai bahawa kematangan fizikal merupakan faktor utama dalam menentukan proses pembelajaran.

Beliau berpendapat semua perkembangan berlaku mengikut pola dan urutan tertentu. Oleh itu, perkembangan tingkah laku kanak-kanak boleh diramalkan. Menurut Teori Perkembangan Arnold Gesell, terdapat lima peringkat perkembangan motor kanak-kanak sejak lahir, iaitu berumur 1 bulan sehingga berumur 5 tahun.

1. PERINGKAT PERTAMA (0 HINGGA 1 TAHUN)

  • Bayi yang berumur 1 bulan menghasilkan tangisan berbeza-beza untuk meminta sesuatu daripada orang dewasa yang menjaganya, sama ada meminta perhatian belaian, makanan, atau lampin yang basah.
  • Ketika bayi berumur 4 bulan, mata bayi boleh mengikuti objek yang bergerak di hadapannya.
  • Ketika bayi berumur 6 bulan, bayi akan berupaya untuk menggenggam objek.
  • Bayi berumur 7 bulan boleh duduk dan merangkak.
  • Ketika bayi berumur 12 bulan, bayi mulai berupaya berdiri dengan berpaut pada kerusi.

2. PERINGKAT KEDUA (1 HINGGA 2 TAHUN)

  • Kanak-kanak mula jalan bertatih atau dibantu oleh pengasuhnya, memperkukuhkan otot kaki supaya dapat berjalan dengan lebih stabil dan mula boleh berlari.
  • Kanak-kanak juga mula memahami makna ‘jangan’ dan berhenti melakukan sesuatu perbuatan pada ketika arahan diberikan.
  • Kanak-kanak mulai menguasai bahasa tetapi percakapan masih pelat.

3. PERINGKAT KETIGA (2 HINGGA 3 TAHUN)

  • Kanak-kanak boleh makan, berjalan dan berlari sendiri dengan pengawasan ibu bapa.
  • Kanak-kanak sudah mampu bercakap menggunakan ayat mudah.

4. PERINGKAT KEEMPAT (3 HINGGA 4 TAHUN)

  • Kanak-kanak mampu menunggang basikal beroda tiga.
  • Kanak-kanak juga boleh mendengar dan mematuhi arahan mudah yang diberikan oleh ibu bapa.

5. PERINGKAT KELIMA (4 HINGGA 5 TAHUN)

  • Kanak-kanak mula bersosialisasi dan berkawan.
  • Mereka juga akan suka bertanya dan mengemukakan soalan tentang perkara yang dilihat di sekeliling mereka.
  • Pada usia ini, mereka sudah bersedia untuk dihantar ke prasekolah

Berdasarkan Teori Perkembangan Arnold Gesell, setiap kali seseorang kanak-kanak memasuki satu peringkat perkembangan baru, dia akan menunjukkan tingkah laku yang tidak stabil kerana dia perlu mempelajari kemahiran koordinasi fizikal, temperaman, intelektual dan sikap.