Table of Contents
Teori Perapatan yang diperkenalkan oleh Mary Ainsworth merupakan pendekatan untuk memahami peringkat awal perkembangan sosial kanak-kanak. Bayi memerlukan sekurang-kurangnya seorang penjaga utama semasa proses pembesaran mereka bagi membolehkan perkembangan sosial dan emosi mereka berkembang secara normal. Kanak-kanak akan menjadi rapat dengan pengasuh atau penjaga yang konsisten dan sensitif semasa berinteraksi dengan mereka. Kualiti hubungan sosial yang terjalin antara penjaga dengan kanak-kanak lebih penting berbanding dengan kuantiti masa yang dihabiskan bersama kanak-kanak.
1. FASA PERTAMA (MINGGU PERTAMA HINGGA KE-8)
Fasa pertama Teori Perapatan Ainsworth berlaku dari minggu pertama kelahiran hingga minggu kelapan. Bayi yang baru dilahirkan mempunyai tiga jenis emosi, iaitu takut, sayang atau marah. Cara bayi menggambarkan emosi boleh dilihat melalui tingkah laku yang ditunjukkan, sama ada bayi akan tersenyum, merengek atau menangis untuk mendapatkan perhatian.
Sebagai contoh, bayi akan menangis sekiranya berasa tidak selesa kerana lampin basah, lapar atau terlalu sejuk dan panas. Tangisan bayi akan menyebabkan tindakan segera perlu diambil oleh ibu bapa mahupun pengasuhnya bagi memastikan bayi berada dalam keadaan yang paling selesa. Gambaran emosi bayi tadi dapat membangunkan perasaan sayang dan saling memerlukan demi membina hubungan yang rapat.
2. FASA KEDUA (2 BULAN HINGGA 6 BULAN)
Berdasarkan fasa kedua dalam Teori Perapatan Ainsworth, bayi boleh membezakan antara orang yang dikenali dengan orang asing serta bayi menjadi lebih responsif terhadap pengasuh. Bayi mulai dapat membezakan antara ibu bapa atau pengasuh dengan orang luar yang jarang berinteraksi dengan mereka.
Bayi akan lebih menunjukkan sifat kepercayaan dan rapat dengan orang yang menjaganya dengan baik. Sekiranya orang yang tidak dikenali cuba mendekatinya, bayi akan menunjukkan reaksi seperti tidak mahu didukung oleh orang lain atau akan menangis.
Selain itu, bayi juga akan menunjukkan sifat mesra dan rapat terhadap ibu bapa atau pengasuh dengan mempamerkan tingkah laku seperti memberikan senyuman dan ketawa. Jika ibu bapa atau pengasuh memberi respons terhadap senyuman dan ketawa bayi, maka akan berlakunya pengukuhan positif yang akan menyebabkan bayi berasa lebih selamat dan percaya terhadap mereka.
3. FASA KETIGA (6 BULAN HINGGA 2 TAHUN)
Perkembangan sosial kanak-kanak adalah lebih ketara semasa kanak-kanak berada dalam fasa ketiga Teori Perapatan Ainsworth. Perasaan dan hubungan erat yang terjalin antara bayi dengan penjaga akan membuatkan bayi akan berasa lebih selamat dan memberikan impak positif semasa bayi membesar menjadi kanak-kanak.
Penjaga yang tidak berada bersama dengan kanak-kanak atau tidak memberikan respons akan memberikan kesan negatif, iaitu tingkah laku perapatan tidak jelas kelihatan dalam tingkah laku kanak-kanak. Perasaan takut, sakit dan kelihatan juga akan menyebabkan tingkah laku perapatan menjadi ketara.
Sebagai contoh, bayi yang berusia dua tahun berkemungkinan menunjukkan tanda-tanda cemburu apabila ibu bapanya melayani kanak-kanak lain. Keadaan ini berlaku kerana kanak-kanak adalah rapat dengan ibu bapa mereka dan berasa mereka sentiasa menjadi perhatian. Oleh itu, apabila perhatian atau kasih sayang ibu bapa dikongsi dengan kanak-kanak lain, maka dia akan berasa tergugat.
Terdapat juga kanak-kanak peringkat usia dua tahun hingga empat yang menunjukkan reaksi cemburu kepada kelahiran adiknya kerana ibu bapa atau pengasuh memberikan lebih perhatian dan tumpuan terhadap adik baharu.
Mary Ainsworth turut melakukan kajian mengenai teori perapatan antara bayi dengan ibunya dengan meletakkan bayi dalam sebuah bilik yang dipenuhi alat permainan. Bayi dibiarkan untuk bermain dengan ditemani ibunya. Seorang wanita yang tidak dikenali masuk ke dalam bilik tersebut dan duduk berhampiran dengan bayi sambil melayannya bermain. Beliau mendapati bahawa bayi memberikan respons yang baik terhadap wanita tersebut. Bayi tetap leka bermain apabila ibu dan wanita yang tidak dikenali meninggalkan bilik tersebut. Ibu bayi kemudiannya memasuki bilik dan bayi menunjukkan wajah muka yang gembira apabila melihat ibunya. Bayi mula menangis apbila ibu meninggalkan bilik pada kali yang kedua. Namun, apabila wanita asing memasuki semula bilik lalu mendukung, memeluk dan memujuk bayi tersebut, bayi berhenti menangis dan teruskan bermain. Situasi yang dikaji oleh Ainsworth menunjukkan bahawa perasaan bayi terganggu apabila ditinggalkan ibu dan berasa tidak selamat apabila berada dengan orang yang tidak dikenalinya.
Kanak-kanak yang mendapat layanan dan hubungan sosial yang positif akan membesar sebagai individu yang memiliki konsep kendiri yang positif dan mereka juga mengharapkan reaksi positif daripada orang lain. Sebaliknya, kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian atau mengalami penderaan sema kecil akan terdorong untuk bertingkah laku agresif dan menarik diri jika berlaku pertengkaran atau pergaduhan.