You are currently viewing Teori Pembelajaran Piaget

Teori Pembelajaran Piaget

Terdapat empat konsep utama yang dicadangkan dalam Teori Pembelajaran Jean Piaget mengenai proses pembelajaran dan bagaimanan proses pemikiran seseorang terbentuk, iaitu:

    • Skema
    • Asimilasi
    • Akomodasi
    • Ekuilibrasi

1. SKEMA

Skema merupakan struktur asas yang mewakili pengetahuan mental seseorang. Skema dibina semasa kanak-kanak cuba mencapai kefahaman tentang sesuatu dan bertindak kepada pengalaman fizikal di persekitarannya. Menurut Sternberg (2016), skema adalah struktur mental atau struktur kognitif seseorang individu yang tidak wujud secara fizikal tetapi dalam bentuk konsep atau kategori. Hal ini bermaksud skema (pola penyusunan tingkah laku) merujuk kepada struktur-struktur kognitif/mental yang digunakan oleh individu untuk mendapatkan pengetahuan atau pemahaman mengenai persekitarannya.

Seorang bayi yang baru lahir mempunyai skema yang terhad atau minimum. Apabila kanak-kanak membesar dan melalui pengalaman tertentu seperti memegang sebiji bola, kanak-kanak telah membina skema perlakuan iaitu menyentuh dan mencengkam. Apabila membaling bola, kanak-kanak tersebut telah membina skema melihat dan mengarahkan bola pada sasarannya.

Semakin kanak-kanak membesar, skema baru akan terbentuk dan skema sedia ada akan diubah suai dan bertambah luas. Kanak-kanak berumur enam tahun mungkin mempunyai skema berkaitan penggunaan strategi-strategi tertentu untuk membuat kategori bahan-bahan mengikut saiz, warna atau bentuk yang sama. Apabila seseorang mencapai umur dewasa, dia telahpun memiliki skema yang pelbagai dan kompleks, contohnya kemahiran memandu kereta di tempat yang sesak, merancang belanjawan peribadi dan sebagainya.

Setiap individu cuba memberi makna kepada dunia yang dialaminya. Perkembangan skema kognitif disebabkan oleh hasil interaksi seseorang individu dengan persekitaran fizikal dan sosialnya. Skema kognitif membantu kita menggunakan perwakilan simbol secara mental dan mengamalkan cara-cara berfikir. Skema tidak statik tetapi sentiasa berubah mengikut perkembangan kognitif dan pengalaman seseorang. Menurut Piaget, skema berubah atau berkembang melalui dua proses penting yang dinamakan sebagai organisasi dan adaptasi.

Organisasi ialah sifat dalaman seseorang individu untuk bertindak menyusun atau mengorganisasikan segala pemerhatian dan pengalaman dalam persekitarannya. Manakala adaptasi merupakan proses individu menyesuaikan diri kepada persekitaran fizikal dan sosial dengan membentuk idea-idea baharu untuk mempertingkatkan kefahaman. Konsep asimilasi dan akomodasi digunakan oleh Piaget untuk menjelaskan peranan adaptasi dalam perkembangan kognitif ini.

2. ASIMILASI

Asimilasi merupakan proses kognitif, iaitu individu mengintegrasikan maklumat atau pengalaman baharu ke dalam skema sedia ada. Asimilasi berlaku sepanjang masa kerana manusia sentiasa aktif memproses dan menginterpretasikan segala peristiwa yang berlaku di sekitara mereka. Proses ini penting untuk membantu mengembangkan skema supaya dapat memahami rangsangan daripada yang mudah kepada yang susah.

Kanak-kanak belajar tentang konsep “kereta” melalui pengalaman dan pemerhatian ciri-ciri kereta yang dipandu oleh ayahnya. Berdasarkan pengalamannya, kanak-kanak juga dapat mengenal pasti kereta yang berlainan jenama atau warna yang berada di jalan raya sebagai “kereta”. Kanak-kanak ini berjaya mengasimilasikan maklumat baharu ke dalam skema sedia ada dengan mudah.

Sebagai contoh, kita mengumpamakan skema sebagai belon dan asimilasi seperti memasukkan angin ke dalam belon tersebut. Angin yang dimasukkan menyebabkan belon bertambah besar tetapi masih mengekalkan bentuk yang sama. Skema (belon) berkembang kerana telah membuat asimilasi kepada maklumat baharu (angin).

Berdasarkan analagi yang diberikan, asimilasi berlaku sepanjang tempoh sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang berlangsung dalam bilik darjah. Sebagai contoh, bagi mata pelajaran Matematik, murid-murid telah membentuk skema mengenai konsep bahagi dan skema fakta asas darab. Asimilasi berlaku bagi membentuk skema baharu apabila murid dikehendaki menyelesaikan soalan matematik melibatkan bahagi panjang (long division) dimana murid perlu mengasimilasikan skema bahagi dan skema darab bagi menyelesaikan soalan yang diberikan.

3. AKOMODASI

Proses akomodasi merupakan satu cara menukarkan skema atau konsep sedia ada untuk disesuaikan dengan maklumat baharu. Semasa proses pembelajaran, seseorang individu akan cuba mengasimilasikan maklumat baharu ke dalam skema yang sedia ada tetapi jika perkara tidak berjaya, dua perkara mungkin berlaku, iaitu mengubah suai skema sedia ada untuk menerima maklumat baharu atau membentuk skema baharu untuk menerima maklumat yang baharu. Kedua-dua proses ini dipanggil akomodasi dan menghasilkan perubahan kualitatif dan perkembangan skema (development of scheme).

Pada peringkat awal, kanak-kanak hanya mengenali konsep “kereta” sebagai kereta jenis sedan dan menganggap semua jenis kereta merupakan kereta jenis sedan. Semasa proses akomodasi, kanak-kanak mengubah suai skema sedia ada yang terbentuk untuk menerima ciri-ciri kereta jenis SUV dan MPV sebagai kereta. Apabila kanak-kanak menerima maklumat baharu untuk membezakan ciri-ciri kereta dengan ciri-ciri saiz lori, bas dan treler, maka kanak-kanak akan mengenali bahawa lori, bas dan treler bukan merupakan “kereta”. Proses ini menunjukkan bahawa skema baharu telah terbentuk dalam struktur kognitif/mental kanak-kanak tersebut melalui proses akomodasi ini.

Individu yang hanya mengasimilasi dan tidak mengakomodasikan akan menghasilkan beberapa skema besar. Individu yang hanya mengakomodasi mempunyai banyak skema kecil dan tidak dapat membuat generalisasi kerana setiap pengalaman merupakan skema baharu dan tidak dapat mendiskriminasikan ciri-ciri persamaan dan perbezaan antara skema-skema berkenaan. Sebagai contoh, ibu menjelaskan perbezaan huruf “b” dan “d” ataupun “p” dan “q” melalui ciri-cirinya. Melalui penerangan yang diberikan, kanak-kanak berupaya mendiskriminasikan ciri-ciri perbezaan kedua-dua huruf tersebut.

4. EKUILIBRASI

Ekuilibrasi atau keseimbangan antara asimilasi dan akomodasi menentukan interaksi individu dengan persekitaran untuk memahaminya. Ekuilibrasi menerangkan cara-cara pemikiran untuk memahaminya. Ekuilibrasi menerangkan cara-cara pemikiran kanak-kanak beralih daru satu peringkat ke peringkat yang berikutnya. Peralihan ini hanya berlaku jika kanak-kanak mengalami konflik kognitif atau ketidakseimbangan (disequilibrium) semasa cuba memahami apa-apa yang sedang dipelajari. Apabila konflik kognitif ini dapat diselesaikan, maka ekuilibrasi dicapai dan pemikiran berada dalam keadaan seimbang.

Piaget berpandangan bahawa terdapat pergolakan kognitif yang nyata antara keadaan ekuilibrasi dan disequilibrium semasa proses asimilasi dan akomodasi silih berganti untuk membawa kepada perubahan kognitif semasa menerima maklumat baharu. Sebagai contoh, seorang kerani berjaya mengubah suai cara kerjanya daripad apenggunaan mesin taip kepada komputer kerana dapat mengasimilasikan kebanyakan fungsi-fungsi baru sebuah computer. Dengan demikian, kitab oleh mengatakan bahawa ekuilibrasi telah dicapai melalui proses asimiilasi. Pembelajaran baharu berlaku dengan mudah keranan kita dapat menyesuaikan maklumat baharu ke dalam struktur kognitif tanpa sebarang masalah.

Namun, ekuilibrasi melalui akomodasi memerlukan seseorang mengubah perspektifnya kepada paradigma yang baharu. Berdasarkan contoh tadi, kerani tersebut mengalami konflik kognitif semasa mempelajari bahawa komputer juga berfungsi sebagai video kamera dan kamera web (webcam) yang membolehkan telekonferens antara manusia daru sudut dunia yang berlainan. Bagi memastikan ekuilibrasi tercapai, bimbingan rakan sebaya atau orang di sekelilingnya membantu kerani membentuk skema baharu melalui interaksi dan pengetahuan yang diperoleh.

Semasa pembelajaran maklumat baharu, individu yang hanya mengasimilasi akan menghasilkan skema yang besar. Dalam keadaan seperti ini, kebanyakan maklumat yang diperhatikan kelihatan lebih kurang sama dan pembelajaran secara umum berlaku. Jika pembelajaran individu yang hanya mengakomodasi, pembelajaran sedemikian akan menghasilkan banyak skema kecil. Dia tidak dapat membuat perkaitan atau generalisasi kerana setiap pengalaman merupakan skema yang berlainan. Dia tidak berupaya menentukan persamaan dan perbezaan atnara skema-skema berkenaan. Oleh itu, proses asimilasi dan akomodasi yang wujud bersama-sama berkeupayaan membentuk tahap pemikiran yang tinggi (KBAT) dalam kalangan individu.

Bagi mencapai proses keseimbangan (equilibrium) antara proses asimilasi dan akomodasi, Piaget telah memperkenalkan Teori Perkembangan Kognitif Piaget dan Teori Perkembangan Moral Piaget .