Otak manusia merupakan satu organ yang kompleks. Roger Sperry (1968) telah memperkenalkan Teori Otak Kiri dan Kanan ataupun juga dikenali sebagai Teori Pengasingan Otak (The Split Brain Theory). Menurut beliau, otak manusia terbahagi kepada hemisfera kiri dan hemisfera kanan. Kajian Coch (2021) mendapati bahawa tanggapan bahawa individu boleh diajar dengan memfokuskan hanya kepada salah satu hemisfera otak sahaja adalah salah semata-mata kerana kedua-dua otak kiri dan otak kanan akan bekerjasama antara satu sama untuk memproses sesuatu maklumat.
Menurut Lim et al. (2020), hemisfera otak kiri adalah lebih dominan kepada pemikiran rasional, lisan, pemikiran analitikal dan pemikiran berasaskan fakta, serta murid mempunyai kemahiran matematik yang lebih bagus (Chua et al., 2021). Menurut Lim et al. (2020), hemisfera otak kanan adalah lebih dominan kepada emosi, bukan lisan, dan pemikiran kreatif, serta murid berupaya memainkan alat muzikal dan lebih kepada visual dan daya imaginasi yang tinggi (Chua et al., 2021).
Guru memainkan peranan yang penting untuk mengembangkan otak kiri dan otak kanan murid melalui proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Guru boleh menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) yang bersifat konkrit dan interaktif. Sebagai contoh, guru memperkenalkan BBM jalur pecahan dalam topik penambahan pecahan dan kemudiannya mengaitkan penggunaan BBM jalur pecahan untuk menyamakan penyebut pecahan dan bagaimana lukisan dan lorekan BBM jalur pecahan tersebut dapat digunakan untuk memperoleh jawapan yang dikehendaki.
Proses pembelajaran murid yang berlaku adalah melalui peringkat konkrit (enaktif), semi-konkrit (ikonik), dan abstrak (simbolik) sebagaimana yang ditekankan dalam Teori Pembelajaran Bruner. Penggunaan BBM seperti jalur pecahan akan meningkatkan penggunaan hemisfera otak kanan apabila murid membuat perwakilan visual dengan melukis dan melorekkan jalur pecahan tanpa menggunakan BBM tersebut. Penggunaan BBM akan mengembangkan potensi otak kanan melalui pemikiran berasaskan fakta dan secara analitikal apabila murid cuba mengaitkan penggunaan BBM jalur pecahan dengan penggunaan simbol dan angka yang bersifat abstrak.
Selain itu, guru boleh mengembangkan potensi otak kanan dan otak kiri murid dengan melakukan aktiviti membina bentuk tiga dimensi (3D) daripada bentangan. Aktiviti membina bentuk 3D memerlukan murid berfikir secara logik dan rasional untuk membuat visualisasi dalam minda mereka bagaimana rupa bentuk sesuatu bentangan bentuk 3D. Semasa murid membina bentangan bentuk 3D, murid perlu menggunakan pemikiran secara fakta, kreatif dan analitikal mengenai bilangan permukaan bentuk 3D dan panjang setiap sisi yang dilukiskan. Pemikiran analitikal dalam otak kiri murid turut boleh diperkembangkan dengan mengkehendaki murid membina bentuk 3D berdasarkan kepada warna setiap permukaan bentuk 3D yang ditetapkan.
Di samping itu, guru turut boleh mengkehendaki murid untuk membina perkataan yang diwakili oleh dua gambar yang berbeza. Sebagai contoh, guru menunjukkan gambar gigi dan berus cat, maka jawapannya ialah berus gigi. Murid perlu menggunakan daya imaginasi mereka untuk menghubungkaitkan kedua-dua gambar yang ditunjukkan untuk membentuk perkataan. Permainan sebegini adalah bersesuaian untuk membantu murid mempelajari ejaan, berfikir secara logik, dan meningkatkan daya imaginasi mereka. Berdasarkan jawapan yang diberikan, guru boleh meminta murid untuk menyatakan objek tersebut dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia bagi mengukuhkan kemahiran bahasa dalam kalangan murid.
Guru boleh melaksanakan aktiviti melukis dan mewarnakan lapan planet dalam sistem suria bagi mata pelajaran Sains. Bagi meningkatkan daya ingatan murid serta hemisfera otak kiri seperti penggunaan bahasa, pemikiran logik dan kemahiran matematik, guru boleh memperkenalkan permainan mnemonik yang memerlukan murid membina perkataan dan ayat yang logik bagi memudahkan murid mengingati sesuatu fakta sains ataupun mata pelajaran lain. Sebagai contoh, urutan planet Mercury, Venus, Earth, Mars, Jupiter, Saturn, Uranus, dan Neptune boleh diwakili dengan mnemonik seperti My Very Educated Mother Just Served Us Noodles. Selain aktiviti mnemonik, guru boleh meminta murid melukiskan peta i-Think seperti peta titi untuk menghubungkan planet-planet dengan ciri-cirinya ataupun peta alir untuk menjelaskan susunan planet.
Aktiviti bercerita dan berlakon dapat memperkembangkan lagi kedua-dua hemisfera otak kiri dan otak kanan. Kedua-dua aktiviti ini dapat meningkatkan kapasiti ingatan dan pemikiran menggunakan hemisfera otak kiri, di mana murid perlu menguasai kemahiran berbahasa untuk menyampaikan sebuah cerita yang bagus. Murid juga perlu berfikiran kreatif seperti menghasilkan kesan bunyi dan bernyanyi, mahupun menunjukkan emosi dan aksi yang bersesuaian dengan jalan cerita tersebut.
Dengan mengintegrasikan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam PdPc, guru yang mempunyai akses kepada TMK di sekolah masing-masing boleh melaksanakan permainan secara atas talian seperti permainan mengingati kad (memory card game). Murid dikehendaki mengingati beberapa kad dalam tempoh masa yang ditetapkan dan melalui permainan ini, murid berupaya meningkatkan kapasiti ingatan, koordinasi mata, dan tumpuan murid.
Sistem jaringan saraf yang menghubungkan sel-sel otak akan semakin berkembang kompleks apabila fungsi otak meningkat dan sekiranya otak tidak banyak digunakan, sistem jaringan yang terbentuk akan menyebabkan berlakunya penurunan fungsi otak yang boleh mengakibatkan sel-sel otak mati (Nur Hidayah et al., 2017). Kesimpulannya, hemisfera otak kanan dan otak kiri murd perlu dikembangkan secara seimbang untuk mencapai perkembangan murid yang optimum dan holistik.
Chua, K., Zheng, Y.L., Kok, S.S., & Shing, C.T. (2021). Development of Brain Balancing System for Left and Right Hemispheres. International Journal on Robotics, Automation and Sciences, 3, 1-7. https://doi.org/10.33093/ijoras.2021.3.1
Coch, D. (2021). Brain Hemispheres and Education: Left, Right, and Wrong. Retrieved from International Bureau of Education Portal on Sciences of Learning: https://solportal.ibe-unesco.org/wp-content/uploads/_pdfs/brain-hemispheres-and-education-left-right-and-wrong.pdf
Lim, Z.Y., Sim, K.S., & Tan, S.C. (2020). An Evaluation of Left and Right Brain Dominance using Electroencephalogram Signal. Engineering Letters, 28(4), 1358-1367.
Nur Hidayah, Hardika, Yuliati, H., Sinta, Y.S., & Imam, G. (2017). Psikologi Pendidikan. Indonesia: Universitas Negeri Malang.
Sperry, R.W. (1968). Hemisphere Deconnection and Unity in Conscious Awareness. American Psychologist, 23(10), 723-733.