Table of Contents
Teori Hierarki Keperluan telah diperkenalkan oleh Abraham Maslow. Menurut Maslow (1943), manusia mempunyai keperluan asas. Manusia akan termotivasi untuk mencapai kepuasan kendiri apabila mereka berupaya memenuhi keperluan asas tersebut (Nor Nazimi Mohd Mustaffa et al., 2017). Oleh itu, Maslow (1970) telah mengelaskan motivasi kepada lima peringkat keperluan manusia. Keperluan manusia pula adalah diklasifikasikan kepada keperluan fisiologi dan keperluan psikologi. Keperluan fisiologi merupakan keperluan asas, manakala keperluan psikologi merupakan keperluan sekunder.
Menurut Maslow (1970), seseorang individu perlu memenuhi keperluan asas terlebih dahulu sebelum memenuhi keperluan sekunder. Teori Hierarki Keperluan Maslow menekankan bahawa seseorang individu perlu memenuhi kesemua keperluan asas iaitu keperluan fisiologi (physiological needs), keperluan keselamatan (safety needs), dan keperluan kasih sayang (belonging and love needs) sebelum memenuhi keperluan sekunder, iaitu keperluan penghargaan kendiri (esteem needs) dan keperluan penyempurnaan kendiri (self-actualization needs). Peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperoleh sekiranya keperluan yang lebih rendah tidak dipenuhi terlebih dahulu.
1. KEPERLUAN FISIOLOGI
Berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Maslow, peringkat keperluan fisiologi merupakan keperluan yang paling asas dan penting bagi manusia. Menurut Muhamad Azmi Makhtar (2015), keperluan asas ini meliputi apa yang diperlukan seseorang seperti keperluan makanan, minuman, pakaian, dan tempat tinggal. Murid yang tidak mengambil makanan sebelum belajar akan memberikan kesan negatif terhadap tumpuan mereka dalam bilik darjah. Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi, murid akan kurang berminat dan bermotivasi untuk belajar atau melakukan sesuatu perkara.
2. KEPERLUAN KESELAMATAN
Berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Maslow, peringkat kedua ialah keperluan keselamatan. Keperluan ini merangkumi keselamatan peribadi, kesihatan, dan persekitaran (Wan Sharifah Laili Mohamad Nawawi, 2015). Menurut Nurhamizah Hashim et al. (2014), seseorang individu yang kurang mendapat keperluan ini menjadikannya lebih gemar untuk menyendiri daripada masyarakat. Namun, individu yang mempunyai atau mendapat keperluan ini secara berlebihan menjadikannya seorang manusia yang sangat bergantung kepada orang lain yang berada di persekitarannya dalam banyak perkara. Menurut Norhisham Abdul Razak (2019), apabila keperluan keselamatan dapat dicapai, seseorang individu akan lebih bermotivasi bagi memastikan kehidupan yang lebih sejahtera dan bebas daripada ancaman luaran dan dalaman.
3. KEPERLUAN KASIH SAYANG
Berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Maslow, peringkat ketiga ialah keperluan kasih sayang. Pada peringkat ini, manusia cenderung menginginkan serta memerlukan kasih sayang daripada seseorang yang rapat dengan mereka, seperti ibu bapa, adik-beradik, saudara mara, dan rakan sebaya (Nurhamizah Hashim et al., 2014). Seseorang individu akan lebih bermotivasi sekiranya mendapat kasih sayang yang mencukupi. Namun, sekiranya berlakunya perselisihan faham di sekolah antara guru dengan murid, ini akan mewujudkan perasaan kurang senang dalam kalangan murid dan merasakan diri mereka seolah-olah tidak disukai atau tidak dipedulikan oleh guru mahupun rakan sebaya mereka. Hal ini akan menyebabkan keinginan, minat, dan motivasi murid untuk belajar menjadi pudar dan berkurangan.
4. KEPERLUAN PENGHARGAAN KENDIRI
Berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Maslow, peringkat keempat ialah keperluan penghargaan kendiri. Maslow telah membahagikan keperluan penghargaan kendiri manusia dalam dua keadaan yang berbeza. Pertama, manusia itu sendiri tahu menilai, menghargai dirinya dan menghormati diri sendiri seperti berasa yakin, cekap, dan berdikari. Seseorang individu berasa yakin bahawa dia mempunyai keyakinan diri, kebolehan, kekuatan, kemampuan, dan kehadirannya sangat berguna dan diperlukan dalam urusan-urusan tertentu.
Kedua, merujuk kepada sikap menghormati dan dihormati orang lain. Rasa hormat ini hadir dalam bentuk pengiktirafan, status, kemasyuran, penghargaan, perhatian, maruah, dan kekuasaan. Menurut Norhisham Abdul Razak (2019), individu terutamanya murid dan remaja memerlukan penghargaan kendiri dalam setiap tindakan untuk memenuhi keperluan ini sama ada dengan mendapat sanjungan, pujian atau dihormati orang lain. Justeru, seseorang individu akan mempunyai motivasi yang lebih tinggi untuk terus mencapai keperluan penghargaan kendiri.
5. KEPERLUAN PENYEMPURNAAN KENDIRI
Berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Maslow, peringkat kelima ialah keperluan penyempurnaan kendiri. Pada peringkat ini, seseorang individu akan mempunyai keinginan kendiri untuk mencapai cita-cita mengikut potensi kendiri (Muhamad Azmi Makhtar, 2015). Dalam konteks pendidikan, keperluan penyempurnaan kendiri bagi murid adalah hasil pencapaian dalam pembelajaran mereka. Murid berupaya memenuhi keperluan penyempurnaan kendiri apabila dapat mencapai matlamat dan merasakan kepuasan dalam pembelajaran.
Maslow, A.H. (1943). A Theory of Human Motivation. Physchological Review, 50(4), 370-396.
Maslow, A.H. (1970). Motivation and Personality (2nd ed.). New York: Harper and Row Publishers.
Muhamad Azmi Makhtar (2015). Kajian Motivasi terhadap Pelajar Kolej Vokasional dalam Melaksanakan Kerja-Kerja Kemahiran Teknikal (Tesis Ijazah Sarjana). Batu Pahat, Johor: Universiti Tun Hussein Onn.
Nor Nazimi Mohd Mustaffa, Jaffary Awang, & Aminuddin Basir @ Ahmad (2017). Teori Maslow dan Kaitannya dengan Kehidupan Muslim. Jurnal Hadhari, 9(2), 275-285.
Norhisham Abdul Razak (2019). Hubungan antara Stres, Motivasi, Konsep Kendiri dengan Pencapaian Akademik dalam Kalangan Pelajar Kolej Matrikulasi (Disertasi Ijazah Doktor Falsafah). Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Nurhamizah Hashim, Nursham Abdul Aziz, & Mohamad Mokhtar Abu Hassan (2014). Eksplorasi Keperluan Remaja dalam Novel ‘Merdekakan Cinta Ratna’. Jurnal Pengajian Melayu (JOMAS), 25(1), 175-199. https://ejournal.um.edu.my/index.php/JPM/article/view/25689
Wan Sharifah Laili Mohamad Nawawi (2015). Hubungan antara Perkembangan Metakognitif dengan Pencapaian Motivasi, Sikap Belajar dan Pencapaian Matematik dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Empat (Tesis Ijazah Sarjana). Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.