You are currently viewing Motivasi: Amotivasi, Intrinsik, Ekstrinsik

Motivasi: Amotivasi, Intrinsik, Ekstrinsik

Motivasi merupakan antara faktor penyumbang kejayaan manusia dalam kehidupan. Individu yang bermotivasi secara dalaman atau luaran cenderung memiliki tahap keyakinan yang lebih tinggi dalam mencapai kejayaan.  Motivasi dalaman merujuk kepada motivasi intrinsik dan motivasi luaran pula merujuk kepada motivasi ekstrinsik. Namun begitu, individu yang tidak bermotivasi dalam melakukan sesuatu perkara pula adalah dikenali sebagai amotivasi.

Artikel ini akan membincangkan mengenai takrifan dan ciri-ciri murid yang memiliki sifat amotivasi, motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

1. Amotivasi

Amotivasi (Amotivation) merupakan suatu motivasi yang berunsurkan negatif kerana tiadanya motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

Takrifan Amotivasi

  • Menurut Mohamad Firdaus Ahmad et al. (2020), amotivasi merujuk kepada perasaan tidak berdaya seseorang individu sama ada secara intrinsik mahupun ekstrinsik.
  • Menurut Mohammad Ikmal Rezal Othman et al. (2020), amotivasi didefinisikan sebagai suatu faktor motivasi yang negatif di mana apabila seseorang individu kurang motivasi dan tidak berminat langsung untuk mengambil bahagian dalam sesuatu tugasan.

Ciri-Ciri Murid Amotivasi

Menurut Cheon dan Reeve (2015), murid-murid yang tergolong dalam kategori amotivasi berkemungkinan mempunyai ciri-ciri seperti:

    • Tidak melibatkan diri dalam bilik darjah
    • Tidak pasti tujuan utama melibatkan diri dalam bilik darjah
    • Mempunyai penglibatan yang pasif dalam bilik darjah
    • Menunjukkan penglibatan palsu (fake engagement) dalam bilik darjah
    • Mengikuti tugasan yang diberikan tanpa penglibatan yang mendalam (deep engagement)

Kajian Amoura et al. (2015) mendapati bahawa murid amotivasi mempunyai ciri-ciri seperti:

    • Mempunyai tanggapan negatif terhadap guru
    • Menganggap guru tidak memberikan sokongan yang mencukupi kepada pembelajaran mereka

Menurut Terrier et al. (2018), murid amotivasi mempunyai ciri-ciri seperti:

    • Tidak mematuhi arahan yang diberikan ketika berada dalam bilik darjah
    • Tidak bermotivasi untuk melakukan sesuatu perkara

Deci, E.L. & Ryan, R.M. (1985). Intrinsic Motivation and Self-Determination in Human Behaviour. New York: Plenum.

Lily Hanefarezan Asbulah, Maimun Aqsha Lubis, Ashinida Aladdin & Musab Sahrim (2018). Tahap Motivasi Holistik, Intrinsik dan Ekstrinsik terhadap Pembelajaran Kosa Kata Bahasa Arab dalam kalangan Graduan Universiti Awam. Asia Pacific Journal of Educators and Education, 33, 75-93. https://doi.org/10.21315/

Mohammad Ikmal Rezal Othman, Nurazwa Ahmad, & Nor Kamariah Kamaruddin (2020). Hubungan antara Motivasi Intrinsik dan Ekstrinsik dengan Pencapaian Akademik Pelajar UTHM.

2. Motivasi Intrinsik

Motivasi intrinsik (intrinsic motivation) merupakan suatu motivasi yang berunsurkan positif dan wujud dalam dalaman seseorang individu tanpa dipengaruhi oleh faktor luaran.

Takrifan Motivasi Intrinsik

  • Menurut Deci & Ryan (1985), motivasi intrinsik merujuk kepada ciri-ciri yang proaktif hasil daripada rangsangan dalaman terhadap persekitaran, menonjolkan sifat kesungguhan dan rasa keseronokan tanpa perlu suruhan, pengukuhan, atau ganjaran
  • Menurut Mohammad Ikmal Rezal Othman et al. (2020), motivasi intrinsik boleh ditakrifkan sebagai tujuan pelajar itu sendiri dan minat terhadap sesuatu subjek atau aktiviti tersebut tanpa wujudnya pengaruh luar.

Ciri-Ciri Murid Motivasi Intrinsik

Kajian Lily Hanefarezan Asbulah et al. (2018) mendapati bahawa murid yang bermotivasi intrinsik mempunyai ciri-ciri seperti:

    • Mempunyai minat mendalam
    • Lebih terdorong untuk melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh
    • Memahami sesuatu perkara dengan lebih mudah

Menurut Mohammad Ikmal Rezal Othman et al. (2020), murid-murid yang mempunyai motivasi intrinsik adalah:

    • Lebih berhati-hati dalam menyiapkan sesuatu tugasan
    • Menitikberatkan tentang kualiti kerja dan tugasan
    • Menunjukkan minat terhadap sesuatu perkara
    • Berdikari
    • Lebih bertenaga
    • Berdaya saing

Deci, E.L. & Ryan, R.M. (1985). Intrinsic Motivation and Self-Determination in Human Behaviour. New York: Plenum.

Lily Hanefarezan Asbulah, Maimun Aqsha Lubis, Ashinida Aladdin & Musab Sahrim (2018). Tahap Motivasi Holistik, Intrinsik dan Ekstrinsik terhadap Pembelajaran Kosa Kata Bahasa Arab dalam kalangan Graduan Universiti Awam. Asia Pacific Journal of Educators and Education, 33, 75-93. https://doi.org/10.21315/

Mohammad Ikmal Rezal Othman, Nurazwa Ahmad, & Nor Kamariah Kamaruddin (2020). Hubungan antara Motivasi Intrinsik dan Ekstrinsik dengan Pencapaian Akademik Pelajar UTHM.

3. Motivasi Ekstrinsik

Motivasi ekstrinsik (extrinsic motivation) merupakan suatu motivasi yang berunsurkan positif dan tingkah laku seseorang individu adalah dipengaruhi oleh faktor luaran.

Takrifan Motivasi Ekstrinsik

  • Menurut Deci & Ryan (1985), motivasi ekstrinsik merujuk kepada dorongan atau rangsangan luaran bagi mencapai satu-satu ganjaran yang jelas seperti pujian, penghargaan, markah, dan sebagainya.
  • Menurut Mohammad Ikmal Rezal Othman et al. (2020), motivasi ekstrinsik adalah ditakrifkan sebagai sikap dan tingkah laku seseorang individu yang dipengaruhi oleh faktor luar seperti ganjaran-ganjaran dan bukannya wujud dalam diri seseorang individu.

Ciri-Ciri Murid Motivasi Ekstrinsik

Kajian Hanis Najwa Shaharuddin et al. (2020) mendapati bahawa murid yang bermotivasi ekstrinsik mempunyai ciri-ciri seperti:

    • Menganggap diri tidak berkebolehan
    • Menganggap diri tidak bijak membuat keputusan
    • Lebih mendengar kata guru jika hasil kerja yang dilakukan tidak memuaskan

Kajian Teng dan Norleena Salamuddin (2021), individu lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti atau tugas dengan adanya pengaruh motivasi ekstrinsik seperti ganjaran kebendaan, wang, pujian, anugerah atau piala.

Deci, E.L. & Ryan, R.M. (1985). Intrinsic Motivation and Self-Determination in Human Behaviour. New York: Plenum.

Hanis Najwa Shaharuddin, Fatahiyah, K.K.A., Wazzainab Ismail, Farah Nur Rashida Rosnan, & Norafidah, G. (2020, April 26-27). Tahap Motivasi Intrinsik dan Ekstrinsik terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab dalam kalangan Pelajar Tahfiz di Selangor (Pembentangan Kertas). Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi, Selangor.

Mohammad Ikmal Rezal Othman, Nurazwa Ahmad, & Nor Kamariah Kamaruddin (2020). Hubungan antara Motivasi Intrinsik dan Ekstrinsik dengan Pencapaian Akademik Pelajar UTHM. In Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (2020), Kajian Kes di Malaysia (pp. 45-52).

Teng, P.F. & Norleena Salamuddin (2021). Hubungan Tahap Motivasi Ekstrinsik dengan Penglibatan Murid dalam Kokurikulum Bola Keranjang di SJKC Daerah Gua Musang, Kelantan. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(2), 314-323. http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd