You are currently viewing Metodologi Kajian: Kaedah Hermeneutik

Metodologi Kajian: Kaedah Hermeneutik

Menurut Suppiah (2020), kaedah Hermeneutik merupakan salah satu kaedah kualitatif yang digunakan bagi proses pengumpulan dan menganalisis data. Menurut beliau, kaedah Hermeneutik adalah bersandarkan pada interpretasi teks secara terperinci.

Kaedah Hermeneutik cenderung kepada pengkajian dan pemahaman secara mendalam dan terperinci ke atas sesuatu fenomena. Dengan penelitian yang mendalam dan terperinci ke atas sesuatu, pengkaji bukan sahaja berupaya memahami unsur-unsur luaran (makna tersurat), tetapi pengkaji juga berkeupayaan untuk melihat dan memahami unsur-unsur dalaman (makna tersirat).

Kaedah Hermeneutik berbentuk interpretif dan tumpuan adalah untuk melakukan tafsiran dan interpretasi ke atas apa juga yang dihasilkan oleh manusia yang mempunyai implikasi ‘makna’.

Kaedah Hermeneutik juga berfokuskan kepada teks sebagai sumber data. Sumber data tersebut boleh diperoleh melalui transkrip temu bual, karangan dan hasil yang berbentuk ilmiah. Maklumat atau informasi daripada teks digunakan untuk menjana tema dan difahami melalui proses interpretasi untuk mencari maksud yang tersirat tersebut.

Berikut menjelaskan ciri-ciri Kaedah Hermeneutik, iaitu teks; kekaburan (Ontoenigma); kebenaran (Lumensa); keterbukaan (Openness); proses ontopretasi; struktur luaran dan struktur dalaman; serta metateks.

1. TEKS

Menurut Suppiah (2020), teks merupakan segala jenis hasilan (produksi) manusia yang berkeupayaan untuk memperlihatkan penerangan dan pemikiran manusia seperti sikap, kelakuan dan keinginan seseorang itu.
Menurut beliau, teks terbahagi kepada dua bahagian, iaitu teks lisan dan teks bukan lisan. Teks lisan adalah seperti transkripsi interaksi dalam sebuah makhamah, proses soal siasat polis, proses pengajaran dan pembelajaran, proses kaunseling dan sebagainya. Manakala, teks bukan lisan adalah seperti karangan pelajar, peraturan bertulis di pasar, temu bual yang telah ditranskrip, skrip drama, skrip lakonan dan sebagainya.

2. KEKABURAN (ONTOENIGMA)

Kekaburan adalah istilah yang dirujuk kepada suatu keadaan di mana seseorang yang kurang jelas atau faham akan sesuatu teks akan berada dalam keadaan kekaburan, sehingga teks tersebut difahami dengan jelasnya. Dengan itu juga dia akan berusaha sedaya upaya untuk membebaskan dirinya daripada keadaan kekaburan dengan melakukan penelitian yang mendalam dan bertubi-tubi

3. KEBENARAN (LUMENSA)

Elemen-elemen kebenaran biasanya tersembunyi dalam teks dan akan muncul apabila ditafsir dan penginterpretasian terhadap teks-teks secara struktur dalaman daripada struktur luaran teks tersebut.

4. KETERBUKAAN (OPENNESS)

Menurut Bernstein (1982), ciri-ciri keterbukaan teks merupakan hasil dapatan daripada bahan yang dikaji oleh pengkaji. Menurut Suppiah (2013), unsur yang terkandung dalam teks itu merupakan faktor penting dalam kajian kelak terutamanya dalam keterbukaan sesuatu teks semasa dikajinya. Contohnya ciri-ciri budaya, sejarah individu dan pengalaman penulis teks adalah sangat penting yang terkandung dalam teks.

5. PROSES ONTOPRETASI (ONTO-PRETATION PROCESS)

Proses ontopretasi berlaku apabila pengkaji meneliti sesebuah teks dan mendapat sesuatu pemahaman daripada teks. Proses ontopretasi berlaku secara berulang-ulang sehingga pengkaji dapat memahami dan menginterpretasi teks dengan jelas. Melalui proses ontopretasi, pengkaji dapat keluar daripada kekaburan (ontoenignma) mengenai teks kepada kebenaran (lumensa) dengan memahami makna yang tersirat dalam teks.

6. STRUKTUR LUARAN DAN STRUKTUR DALAMAN

Teks mempunyai dua struktur, iaitu struktur luaran dan struktur dalaman. Secara umumnya struktur luaran merujuk kepada perkara-perkara yang tersurat, iaitu perkara-perkara yang dapat dikesan dengan mudah dan terus daripada teks. Akan tetapi, tingkah laku atau ujaran yang dihasilkan oleh individu itu kadangkala amat sukar untuk difahami, maka pengkaji terpaksa dengan sedaya upaya menyelami unsur-unsur yang tersembunyi (struktur dalaman) di sebalik sesuatu ujaran atau tingkah laku tersebut.

7. METATEKS

Metateks merujuk kepada ‘teks mengenai teks’, iaitu proses pemahaman teks mengenai teks akan menghasilkan teks-teks baru dan dinamakan sebagai Metateks. Metateks ialah hasil interpretasi yang dibuat terhadap teks yang mengandungi penjelasan terhadap apa yang diselidiki dalam teks. Dalam konteks kajian ini, metateks merujuk kepada tafsiran dan interpretasi tersurat dan tersirat setelah pemahaman secara mendalam mengenai teks responden.

Suppiah, N. (2003). Proses Kognitif dalam Penulisan Esei Melalui Analisis Hermeneutik (Disertasi Ijazah Doktor Falsafah tanpa terbitan). Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Suppiah, N. (2013). Proses Kognisi dan Efeksi: Kaedah Pedagogi Hermeneutik dan Interpretasi. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Suppiah, N. (2020). Kaedah Hermeneutik: Kaedah Interpretasi Teks Secara Kualitatif.