You are currently viewing Konsep Kendiri: Positif dan Negatif

Konsep Kendiri: Positif dan Negatif

Menurut Siti Jamiaah Abdul Jalil et al. (2017), konsep kendiri merupakan penilaian, persepsi atau tanggapan individu terhadap diri sendiri yang melibatkan kepercayaan, sikap, nilai, dan perasaannya. Dalam pembentukan diri remaja, tanggapan terhadap diri sendiri amat penting dalam menentukan identiti seseorang individu kerana ianya mempengaruhi tingkah laku, pemikiran, dan emosi.

Pernyataan ini adalah selaras dengan pandangan Khairunnisa Kamarulzaman (2019) dalam kajiannya yang mendefinisikan konsep kendiri sebagai persepsi dan penilaian seseorang pelajar terhadap keyakinan, keupayaan belajar, kerisauan, tumpuan terhadap pelajarannnya, perasaan takut dan perasaan dihargai atau bagaiamana seseorang individu menganggap tentang dirinya sendiri sama ada secara positif atau negatif. Sebagai contoh, gambaran tentang paras, fizikal, kebolehan, kelemahan kesihatan, dan tingkah laku seseorang individu tersebut merupakan konsep kendiri (Farah & Mohammad Mujaheed Hassan, 2021).

Menurut Nyakundi et al. (2018), sekiranya murid mempunyai konsep kendiri yang positif dan berkeyakinan untuk memperoleh keputusan yang cemerlang, murid tersebut akan menumpukan perhatiannya terhadap sesi PdPc guru dan berusaha sedaya upaya untuk cemerlang dalam ujian tersebut.

Namun, murid yang mempunyai konsep kendiri yang negatif akan beranggapan bahawa mereka akan gagal dalam ujian yang diberikan, dan menyebabkan mereka menghadiri sesi persekolahan semata-mata untuk menghadiri ujian serta tidak memberikan tumpuan untuk memahami pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari. Pernyataan beliau jelas menunjukkan bahawa konsep kendiri akan mempengaruhi seseorang individu secara positif ataupun negatif.

Farah Wazera Mohamed Jaafer Sadiq dan Mohammad Mujaheed Hassan (2021). Konsep Kendiri dan Gaya Pembelajaran terhadap Motivasi Akademik dalam kalangan Mahasiswa. Mlaysian Journal of Social Sciences and Humanitites (MJSSH), 6(2), 75- 105. https://doi.org/10.47405/mjssh.v6i2.683

Khairunnisa Kamarulzaman (2019). Hubungan di antara Konsep Kendiri dan Sokongan Ibu Bapa dengan Pencapaian Akademik dalam Kalangan Pelajar Kolej Vokasional. (Tesis Ijazah Sarjana). Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Nyakundi, E.N., Raburu, P.A., & Okwara, M.O. (2018). International Journal of Applied Psychology Relationship between Pupils’ Self Concept and Academic performance of Primary School Pupils in Kenya. IOSR Journal of Humanities and Social Science, 23(10), 63-66. https://doi.org/10.9790/0837-2310016366

Siti Jamiaah Abdul Jalil, Yusmini Md. Yusoff, & Rozmi Ismail (2017). Pembinaan Konsep Kendiri dari Perspektif Barat dan Islam. Jurnal Usuluddin, 45(1), 1-26. https://doi.org/10.22452/usuluddin.vol45no1.1