You are currently viewing Bagaimana Membuat Tinjauan Literatur Daripada Artikel Jurnal?

Bagaimana Membuat Tinjauan Literatur Daripada Artikel Jurnal?

Bagaimana tinjauan literatur dilakukan? Artikel jurnal merupakan sumber yang penting dalam melaksanakan tinjauan literatur. Hal ini kerana bukan setiap artikel jurnal yang dicari adalah bertepatan dengan isu pendidikan yang dikaji. Untuk mengenal pasti sama ada sesuatu artikel jurnal sesuai dijadikan rujukan ataupun tidak, saya akan meneliti tajuk artikel tersebut terlebih dahulu. Seseorang penyelidik perlu memastikan artikel jurnal tersebut turut mengkaji isu pendidikan yang sama, seperti pembelajaran mata pelajaran Matematik melibatkan topik Pecahan di sekolah rendah.

1. ABSTRAK (ABSTRACT)

Bahagian abstrak merupakan rumusan menyeluruh sesuatu kajian dalam sesuatu penulisan artikel penyelidikan dan merangkumi pelbagai aspek, iaitu reka bentuk kajian, objektif kajian, metodologi kajian, dapatan kajian, dan implikasi kajian. Melalui pembacaan bahagian Abstrak dalam sesuatu artikel jurnal, saya berupaya untuk menentukan sama ada  artikel jurnal tersebut sesuai dijadikan sebagai tinjauan literatur ataupun tidak.

2. PERNYATAAN MASALAH (PROBLEM STATEMENT)

Apabila mendapati bahagian penulisan abstrak berkisar mengenai isu pendidikan yang dikaji, bahagian seterusnya yang akan dirujuk ialah bahagian ‘Pernyataan Masalah’. Pernyataan masalah merupakan isu atau masalah yang ingin dikaji dalam penyelidikan dan kebiasaanya penyelidik akan menjelaskan kepentingan, rasional dan signifikan melaksanakan sesuatu penyelidikan tersebut.

Senario masalah yang turut dihadapi oleh penyelidik berdasarkan kepada jurnal artikel membantu saya untuk membuat sorotanliteratur terhadap isu yang turut dialami oleh penyelidik berkenaan. Pernyataan masalah mengenai isu yang dikemukakan turut akan mengandungi sorotan literatur daripada kajian-kajian penyelidik lain. Maka, saya akan merujuk kepada bahagian ‘Rujukan’ dalam artikel jurnal tersebut untuk mendapatkan tajuk artikel jurnal yang turut mengkaji isu yang sama dan mengulang semula langkah-langkah ini.

3. DAPATAN KAJIAN (RESEARCH FINDINGS)

Setelah memperoleh maklumat yang diperlukan daripada bahagian pernyataan masalah, saya akan merujuk kepada bahagian ‘Dapatan Kajian’ yang terkandung dalam artikel jurnal tersebut. Hal ini kerana, dapatan kajian mengandungi huraian teknik yang digunakan untuk menganalisis data yang telah dikumpulkan.

Bagi kajian kuantitatif, data mentah yang telah dianalisis akan dipersembahkan dalam bentuk jadual, rajah atau graf. Manakala pula bagi kajian kualitatif, dapatan kajian dirumuskan dan dipersembahkan dalam bentuk deskriptif berdasarkan tema-tema tertentu yang diperoleh daripada teks asal responden.

Dengan merujuk kepada bahagian ini, saya berupaya untuk mengetahui secara lebih mendalam hasil dapatan daripada responden kajian dalam artikel jurnal tersebut. Dapatan daripada responden kajian mengenai isu yang dikaji boleh dijadikan sebagai sorotan literatur sekiranya bersesuaian dengan fokus penyelidikan saya.

4. PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN (DISCUSSION)

Seterusnya, saya akan merujuk kepada bahagian ‘Perbincangan Kajian’. Bahagian ini merujuk kepada perbincangan atau rumusan dapatan kajian yang disokong dengan tinjauan literatur yang relevan dan implikasi teori terhadap dapatan kajian supaya kajian yang dilaksanakan adalah signifikan terhadap dunia pendidikan. Oleh itu, bahagian ini turut memainkan peranan yang penting terhadap penulisan sorotan literatur dalam kajian saya.