Bagi kajian kuantitatif, kaedah persampelan rawak terdiri daripada empat jenis kaedah, iaitu persampelan rawak mudah, rawak sistematik, rawak berstrata, dan rawak berkluster (cluster sampling).
Persampelan rawak mudah merupakan proses memilih sampel di mana setiap individu dalam suatu populasi mempunyai peluang yang sama untuk dipilih dan dilibatkan sebagai responden kajian menggunakan cabutan daripada kotak atau penjanaan sampel melalui komputer.
Persampelan rawak sistematik memerlukan senarai nama kesemua ahli-ahli dalam suatu populasi yang berkemungkinan untuk dipilih. Selepas itu, pengkaji perlu menggunakan formula dengan memilih setiap sampel dalam selang ke-n sehingga bilangan sampel yang dikehendaki tercapai (‘n’ adalah saiz populasi dibahagikan dengan saiz sampel).
Persampelan rawak berstrata membahagikan sampel mengikut kumpulan terlebih dahulu sebelum pemilihan sampel dibuat, seperti tahap kecerdasan rendah, sederhana, dan tinggi. Selepas itu, pengkaji akan menetapkan bilangan murid yang diperlukan bagi setiap kumpulan stratum tersebut dan seterusnya, pemilihan sampel secara rawak dilaksanakan.
Persampelan rawak berkluster juga dikenali sebagai rawak berkelompok. Kaedah persampelan berkluster ini hampir serupa dengan persampelan berstrata. Populasi yang terdapat di suatu lokasi kajian yang kedudukan geografinya jauh antara satu satu lain akan dikelompokkan. Daripada beberapa kumpulan kluster atau kelompok, pemilihan sampel akan dilaksanakan.