You are currently viewing Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen Kajian

Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen Kajian

Menurut Elango Periasamy dan Halimah Badioze Zaman (2011), semakin tinggi nilai dan tahap kesahan dan kebolehpercayaan instrumen, maka semakin jitu data yang diperoleh. Pernyataan beliau jelas menunjukkan bahawa kesahan dan kebolehpercayaan instrumen kajian amat penting bagi mempertahankan kejituan instrumen daripada terdedah kepada sebarang ralat atau kecacatan supaya hasil dapatan kajian yang diperoleh adalah jitu dan boleh dipercayai.

Menurut Lee et al. (2018), kebolehpercayaan sesuatu instrumen boleh dipertingkatkan berdasarkan kriteria seperti pernyataan yang jelas dan tepat dalam membina arahan dan soalan; proses pengumpulan data dalam keadaan yang piawai dan terkawal; mengelakkan gangguan terhadap subjek semasa mengisi instrumen kajian; dan mengelakkan kebimbangan subjek terhadap kerahsiaan maklumat. Instrumen temu bual dan lembaran kerja mestilah dijalankan dalam keadaan senyap seperti semasa keadaan peperiksaan bagi mengelakkan gangguan daripada persekitaran mereka.

Di samping itu, kajian ini juga akan menggunakan kaedah triangulasi dalam menjamin kesahan dan kebolehpercayaan data kualitatif yang dikumpulkan. Menurut Lee et al. (2018), kaedah triangulasi merupakan kaedah yang boleh meningkatkan kebolehpercayaan sesuatu penyelidikan. Pernyataan beliau turut dipersetujui Zanaton Iksan et al. (2016), kaedah triangulasi dapat meningkatkan kesahan dan kesahihan dapatan kajian kerana setiap data yang diperoleh daripada satu instrumen dapat diperkuatkan lagi oleh instrumen yang lain.

Menurut Zanaton Iksan et al. (2016), teknik triangulasi boleh dilaksanakan antara kaedah dan di dalam kaedah. Triangulasi antara kaedah dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai instrumen pengumpulan data, iaitu temu bual, pemerhatian, dan analisis dokumen. Triangulasi dalam kaedah dilaksanakan dengan melakukan pemerhatian dan temu bual secara berulang kali kepada setiap peserta kajian. Melalui proses ini, dapat diperhatikan bahawa peserta kajian mungkin melakukan sesuatu perlakuan secara berulang-ulang. Oleh itu, pengkaji akan menggunakan kedua-dua jenis triangulasi data, iaitu triangulasi antara kaedah dan triangulasi di dalam kaedah.

Elango Periasamy & Halimah Badioze Zaman (2011). Predict Incorrect Thinking Process: Negative Numbers Subtraction Operation Second Category. Proceeding of the International Conference on Advanced Science, Engineering and Information Technology. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lee, K. C., Zakri Abdullah & Chua, L. N. (2018). Penyelidikan dalam Pendidikan. Selangor: Oxford Fajar.

Zanaton Iksan, Salasiah Hanin Hamjah, Tengku Intan Zarina Tengku Puji, & Mohd Noor Saper (2016). Kualiti Ilmu Berasaskan Kesahan dan Kebolehpercayaan Data dalam Penyebaran Ilmu Islam: Perbincangan Berasaskan Kajian Kualitatif. Jurnal Hadhari, 8(1), 13-30.