You are currently viewing Teori Pemprosesan Maklumat Atkinson-Shriffin dalam PdPc

Teori Pemprosesan Maklumat Atkinson-Shriffin dalam PdPc

Menurut Model Pemprosesan Maklumat oleh Atkinson-Shiffrin (1968), sistem pemprosesan maklumat manusia terdiri daripada tiga komponen, iaitu ingatan deria (sensory memory), ingatan jangka pendek (short-term memory, STM), dan ingatan jangka panjang (long-term memory, LTM). Maka, satu teori yang lebih khusus dalam proses pembelajaran ialah Teori Pemprosesan Maklumat Gagne (1975).

Menurut McKivigan (2019), Gagne telah menyarankan sembilan fasa instruksional dalam memastikan berlakunya pembelajaran yang berkesan, iaitu gaining attention (reception); informing the learner of the objective (expectancy); stimulating recall of prerequisite learning (retrieval); presenting the stimulus material (selective perception); providing learning guidance (semantic encoding); eliciting performance (responding); giving feedback (reinforcement); assessing performance (retrieval); dan enhancing retention and transfer (generalization).

Teori Pemprosesan Maklumat menurut Atkinson-Shriffin dan Gagne akan digunakan untuk menjelaskan bagaimana pemprosesan maklumat membantu pembelajaran murid dalam bilik darjah. Murid akan menerima input dan pengetahuan melalui lima pancaindera mereka, iaitu melihat, mendengar, merasa, menyentuh, dan menghidu. Guru perlu mendapatkan perhatian murid (reception) supaya murid lebih bersemangat, tertarik dan termotivasi untuk mengikuti sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang akan dilaksanakan. Sebagai contoh, guru boleh menunjukkan video mengenai kek dipotong atau bercerita mengenai kek untuk memperkenalkan topik ‘Pecahan’ bagi mata pelajaran Matematik. Guru perlu memaklumkan objektif pembelajaran (expectancy) mengenai PdPc pada hari tersebut supaya murid mengetahui apakah kandungan topik pecahan yang perlu dikuasai pada akhir sesi PdPc.

Apabila murid diperkenalkan dengan topik baharu seperti ‘Pecahan, murid cenderung untuk mengimbas kembali (retrieval) kehidupan seharian mereka, di mana pengetahuan ini disimpan dalam LTM, iaitu ingatan semantik dan ingatan episodik. Pengetahuan konseptual yang disimpan dalam LTM akan dikeluarkan ke STM apabila murid cuba mengingat kembali pengalaman peribadi mengenai pemotongan kek hari jadi dalam kehidupan seharian mereka untuk membuat hubung kait dengan topik pecahan yang diperkenalkan kepada mereka.

Seterusnya, guru perlu menyampaikan sesi PdPc (selective perception) menggunakan alat bantu mengajar yang dipilih berdasarkan kesesuaiannya seperti jalur pecahan. Guru perlu menyampaikan sesi PdPc dengan kaedah dan aktiviti yang bersesuaian, seperti melukiskan jalur pecahan supaya murid berupaya mengetahui dan memahami pengetahuan konseptual yang ingin disampaikan oleh guru mengenai pecahan (semantic encoding). Maklumat yang diperoleh melalui pancaindera manusia, iaitu melihat dan mendengar akan disimpan daripada ingatan deria kepada STM yang bersifat sementara.

Untuk memastikan kefahaman murid, guru boleh melaksanakan sesi bersoal jawab atau sesi kuiz bertulis (responding) bersama murid untuk memastikan murid memahami penjelasan yang diberikan supaya pengetahuan konseptual dan pengetahuan prosedural disimpan dari ingatan deria ke STM. Setelah sesi soal jawab dan kuiz bertulis, guru perlu memberikan maklum balas (reinforcement) seperti kata-kata semangat atau ganjaran apabila murid berupaya menjawab suatu soalan dengan betul.

Untuk memastikan pengetahuan konseptual dan prosedural disimpan dari STM ke LTM, iaitu ingatan semantik dan ingatan prosedural, guru perlu menekankan dan mengaitkan semula jawapan yang diberikan murid dengan isi kandungan PdPc pada hari tersebut, iaitu penambahan pecahan (retrieval). Hal ini kerana, sebahagian maklumat dalam STM akan hilang dengan mudah dan perlu diaktifkan selalu melalui proses latihan pemeliharaan (maintanence rehearsal) (Siow et al., 2005).

Bagi fasa yang terakhir, iaitu meningkatkan daya ingatan dan pertukaran pengetahuan (enhancing retention and transfer), guru boleh memberikan latihan pengukuhan kepada para murid. Apabila murid mempunyai daya ingatan yang lemah dan cuba menghubungkan konsep baharu dipelajari (STM) dengan pengetahuan sedia ada (LTM), masalah yang berkemungkinan berlaku ialah murid yang lemah akan menghadapi masalah untuk membentuk konseptual yang betul, dan seterusnya menyebabkan pembentukan miskonsepsi dalam topik penambahan pecahan.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya miskonsepsi pembelajaran murid dalam topik penambahan pecahan, guru boleh membahagikan murid kepada beberapa kumpulan yang masing-masing terdiri daripada murid yang lemah dan pandai supaya murid yang pandai berupaya membantu rakan sebaya mereka yang lemah dalam penguasaan penambahan pecahan. Dengan itu, pengetahuan yang disimpan dalam STM akan dikeluarkan dan diaplikasi untuk membantu rakan sebaya mereka yang lemah. Keadaan sebegini akan memberikan implikasi positif terhadap pengekalan pengetahuan konseptual dan prosedural murid secara jangka panjang.

Pada sesi PdPc seterusnya, guru perlu mengulang semula langkah-langkah instruksional yang disarankan oleh Gagne (1975). Ingatan episodik dalam LTM murid akan membantu murid mengimbas kembali peristiwa yang berlaku ketika kelas sebelumnya seperti menjawab kuiz bertulis tambah pecahan dengan betul. Guru perlu mengulang semula PdPc mengenai penambahan pecahan supaya murid mengingat kembali kemahiran yang telah dipelajari pada kelas sebelumnya (retrieval) supaya murid selalu mengaktifkan pengetahuan konseptual dan prosedural penambahan pecahan yang disimpan dalam LTM, iaitu ingatan semantik dan ingatan prosedural bagi mengelakkan berlakunya lupaan.

Atkinson, R.C., & Shiffrin, R.M. (1968). Human Memory: A Proposed System And Its Congrol Processes. In Spence, K.W., & Spence, J.T. (Eds.), The Psychology Of Learning And Motivation: Advanced In Research And Theory (2nd ed., pp. 89-195). New York: Academic Press.

Gagne, R.M. (1975). Essential of Learning for Instruction. New York: Dryden.

McKivigan, J. (2019). Keller’s ARCS Model and Gagne’s Nine Events of Instruction. Journal of Educational Studies, 5(1), 1-2.

Siow, H.L., Abu, T.P., Lee, S.E., Sandiyao, S., & Adelina, A. (2005). Pedagogi Merentas Kurikulum. Pahang: PTS Professional.