Teori Perkembangan Kognitif Vygotsky yang diperkenalkan oleh Lev Vygotsky turut dikenali dengan nama Teori Pembelajaran Konstruktivisme. Teori ini menekankan bahawa kemahiran kognitif kanak-kanak berkembang melalui interaksi sosial. Menurut Vygotsky, interaksi sosial antara kanak-kanak dengan orang di sekeliling mereka dapat meningkatkan perkembangan mental, bahasa dan sosial mereka.
Bahasa merupakan alat pengantara yang penting bagi menyokong perkembangan kognitif kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak mula didedahkan kepada bahasa sejak lahir lagi dan pemerolehan bahasa tidak berlaku tanpa interaksi sosial.
Teori Perkembangan Kognitif Vygotsky menggunakan istilah zon perkembangan proksimal, tahap perkembangan sebenar (actual developmental level) dan tahap perkembangan berpotensi (level of potential development) untuk menjelaskan cara-cara perkembangan kognitif kanak-kanak dapat dipertingkat dan diperkukuhkan melalui interaksi mereka dengan individu yang lebih berkebolehan.
Zon Perkembangan Proksimal (ZPD) merupakan lingkungan kemampuan seseorang untuk melakukan tugas-tugas dengan berjaya. Tahap perkembangan sebenar merupakan had bawah iaitu tahap yang dicapai oleh seseorang apabila berfungsi secara bersendirian, manakala tahap perkembangan berpotensi merujuk kepada kebolehan individu untuk mencapai potensi yang lebih tinggi dengan bimbingan daripada pihak yang lebih berkebolehan. Oleh itu, jurang atau jarak antara kedua-dua tahap ini dikenali sebagai zon perkembangan proksimal (ZPD).
Jika tugasan-tugasan yang diberi berada dalam kawasan ZPD, perkembangan kognitif individu tersebut akan mencapai tahap yang maksimum. ZPD akan bergerak ke aras yang lebih tinggi apabila individu itu mempelajari kemahiran baru. Dengan bantuan persekitaran dan pihak lain, kanak-kanak dapat mencapai tahap pemikiran yang lebih tinggi. Bagi mencapai ZPD, kanak-kanak memerlukan bimbingan daripada pihak yang lebih kompeten atau fasih untuk memberi bimbingan menggunakan bahasa yang betul seperti guru, rakan sebaya, ibu bapa atau orang dewasa yang mereka percayai.
Dalam teori Vygotsky, medium atau perbualan sedemikian dikenali sebagai scaffolding. Scaffolding membawa maksud ‘sesuatu kerangka yang menyokong proses pembelajaran individu’. Perkembangan kognitif akan berlaku pada tahap yang lebih tinggi, iaitu apabila orang dewasa yang berada di samping kanak-kanak memberi tunjuk ajar, berbanding jika kanak-kanak melakukan tugasan tersebut secara bersendirian atau tanpa bantuan.
Selain daripada berinteraksi dengan pihak yang lebih berkebolehan untuk mempelajari kemahiran baharu, Vygotsky turut membincangkan peranan bicara kendiri (self speech) dan bicara hati (inner speech) serta kesannya terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak. Bicara kendiri merupakan situasi kanak-kanak bercakap sendiri secara nyaring, manakala bicara hati merujuk kepada kanak-kanak ‘bercakap’ kepada diri sendiri secara mental. Melalui bicara kendiri dan bicara hati, kanak-kanak belajar memandu dan mengarah tingkah laku diri semasa mengendalikan tugasan-tugasan yang sukar. Dalam erti kata lain, kanak-kanak menyediakan scaffolding kepada dirinya sendiri dalam proses pembelajaran.
Kanak-kanak digalakkan menyatakan pemikirannya (thinking aloud) dan hal ini membantu mereka mendengar bicara hati diri sendiri untuk merancang dan mengawal tingkah laku sendiri. Bicara kendiri ini cenderung berlaku kepada kanak-kanak yang berusia tiga hingga tujuh tahun disebabkan pemikirannya masih bersifat konkrit. Semasa bicara kendiri, kanak-kanak dapat menggunakan bahasa dan pemikiran untuk mempertimbangkan pilihan tindakan seterusnya. Orang dewasa juga menggunakan bicara kendiri untuk meneroka bisikan hati, membuat refleksi dan metakognisi terhadap tindakan-tindakan mereka.