You are currently viewing Teori Perkembangan Psikososial Erikson

Teori Perkembangan Psikososial Erikson

Teori Perkembangan Psikososial yang diperkenalkan oleh Erik Erikson (1968) menjelaskan perkembangan personaliti yang berlaku sepanjang kehidupan manusia. Peringkat perkembangan manusia adalah terbahagi kepada lapan tahap. Pada setiap tahap, terdapat krisis yang perlu diatasi oleh seseorang kanak-kanak pada peringkat umur tersebut. Sekiranya dia gagal mengatasi krisis pada tahap tersebut, dia akan terus gagal pada tahap-tahap berikutnya.

1. KEPERCAYAAN LAWAN KECURIGAAN (0 HINGGA 18 BULAN)

Tahap pertama dalam Teori Perkembangan Psikosial Erikson ialah kepercayaan lawan kecurigaan (Trust versus Mistrust). Personaliti seseorang individu mula terbentuk daripada peringkat umur bayi. Perasaan percaya kepada persekitaran dan orang-orang yang hampir dengan bayi akan wujud sekiranya bayi memperoleh penjagaan yang baik daripada ibu bapa ataupun pengasuh mereka. Bayi akan berasa tenang dan merasakan persekitaran sosialnya lebih selamat apabila ibu bapa memberikan kasih sayang dan perhatian yang tekal kepada mereka. Mereka akan mempercayai bahawa orang-orang di sekitarnya boleh dipercayai dan penyayang, serta merasakan persekitaran sosialnya lebih selamat.

Namun begitu, sekiranya bayi tidak memperoleh kasih sayang dan perhatian yang tekal, maka akan timbulnya perasaan curiga dan tidak mempercayai orang-orang di sekitarnya. Justeru, bayi akan menghadapi masalah dengan kaedaan emosi kerana mereka akn berasa ibu bapa tidak melengkapkan keperluan ini. Peringkat ini adalah selaras dengan Teori Perapatan Ainsworth, iaitu bayi memerlukan sekurang-kurangnya seorang penjaga utama semasa proses pembesaran mereka bagi membolehkan perkembangan psikososial berlaku secara normal melalui kemesraan fizikal (Rozita Wahab, 2014).

Sebagai contoh, ibu bapa atau pengasuh perlu peka dengan keperluan bayi apabila terdengar tangisan mereka, sama ada bayi berasa lapar, tidak selesa, dan berasa terlalu sejuk atau panas. Apabila ibu bapa atau pengasuh memberikan perhatian kepada bayi dengan menyuapkan makanan, membancuh susu, atau menukarkan lampin yang basah dan kotor, tindakan sebegini akan menimbulkan sikap kepercayaan bayi terhadap orang yang rapat di sekeliling mereka.

Jika ibu bapa terus meluru datang kepada bayi selepas sahaja terdengar bayi merengek, mungkin berlaku keadaan yang menggalakkan terbinanya dalam diri bayi kecenderungan maladaptive atau tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran. Kanak-kanak yang terbentuk sebegini akan menjadi terlalu mempercayai (overly trusting) orang-orang di sekelilingnya. Sekiranya ibu bapa dapat menunjukkan asuhan yang seimbang, tekal dan stabil, dia akan dapat menanam perasaan bersangka baik (virtue hope) dalam jiwa anaknya.

2. AUTONOMI LAWAN KERAGUAN (18 BULAN HINGGA 3 TAHUN)

Tahap kedua dalam Teori Perkembangan Psikosial Erikson ialah autonomi lawan keraguan (Autonomy versus Shame and Doubt). Kanak-kanak mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Kanak-kanak membina kemahiran fizikal dengan mencuba untuk makan, memakai pakaian dan pergi ke tandas dengan sendiri. Jika ibu bapa atau pengasuh kanak-kanak pada peringkat umur ini memberikan autonomi kepada kanak-kanak untuk meneroka persekitaran dan memanipulasi objek atau orang yang berada di persekitaran mereka, kanak-kanak tersebut akan dapat mengembang perasaan autonomi dan memupuk nilai berdikari.

Sekiranya orang-orang di sekitarnya tidak berinteraksi dan tidak memberi sokongan dengan baik, kanak-kanak tersebut berkemungkinan akan bersifat pemalu dan ragu-ragu. Sebagai contoh, ibu bapa atau pengasuh perlu memberikan motivasi dan galakan kepada kanak-kanak apabila cuba ingin melakukan sesuatu dengan sendiri dan bukannya terus mengambilkan sudu dan menyuapkan makanan untuk mereka. Ibu bapa perlu menggalakkan kanak-kanak supaya berdikari melakukan sesuatu tanpa mengenakan hukuman atau denda sekiranya dilakukan dengan cara yang salah.

Kawalan yang ketat seperti mengenakan hukuman sekiranya kanak-kanak melakukan kesalahan akan menimbulkan perasaan malu, ragu-ragu dan tidak berminat untuk meneroka situasi baharu yang lebih mencabar. Kanak-kanak perlu diberikan autonomi mencuba sesuatu supaya mereka lebih berdikari dan yakin dalam membuat sesuatu, tetapi pada masa yang sama, kanak-kanak perlu dimaklumkan bahawa mereka boleh meminta bantuan ibu bapa atau pengasuh sekiranya memerlukannya. Sekiranya ibu bapa dapat mengimbangkan antara perasaan autonomi dengan perasaan malu, kanak-kanak tersebut akan dapat mengembangkan willpower atau keazaman yang kental untuk berjaya.

3. INISIATIF LAWAN RASA BERSALAH (3 HINGGA 6 TAHUN)

Tahap ketiga dalam Teori Perkembangan Psikosial Erikson ialah inisiatif lawan rasa bersalah (Initiative versus Guilt). Kanak-kanak dalam lingkungan umur 3 tahun hingga 6 tahun ini mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam terhadap sesuatu perkara dan ingin melakukan sesuatu perkara tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak pada tahap ini lebih terdedah kepada pelbagai cabaran kerana mereka mula berinteraksi dan terdedah kepada persekitarannya.

Kanak-kanak pada tahap ini bersikap ringan tulang untuk melakukan kerja-kerja yang tidak setimpal dengan usia mereka. Misalnya, kanak-kanak perempuan akan cuba membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk, menyapu sampah, membasuh, menjemur pakaian dan sebagainya. Hal ini demikian kerana perkembangan kognitif dan fizikal kanak-kanak pada tahap ini semakin bertambah. Perasaan untuk menjadi lebih matang mula ditonjolkan kerana mereka menganggap kedua-dua ibu bapa sebagai idola.

Menurut Irwan Mahazir Ismail et al. (2017), orang dewasa berperanan untuk memantau kanak-kanak ketika melakukan aktiviti dan kanak-kanak akan lebih teruja sekiranya diberikan ganjaran pada setiap pencapaian yang diperolehi. Namun, ibu bapa yang sering mengkritik dan mengenakan hukuman akan menyebabkan penurunan minat kanak-kanak untuk mencuba dan berinisiatif melakukan sesuatu kerana timbulnya perasaan bersalah dan berkemungkinan mengasingkan diri daripada orang lain. Sebagai contoh, kanak-kanak berinisiatif membantu ibu bapa mencuci pinggan tetapi tidak tersengaja memecahkan pinggan dan menyebabkan ibu bapa atau pengasuh memarahi mereka. Situasi sebegini akan menyebabkan kanak-kanak berasa bersalah dan inisiatif dalam melakukan sesuatu aktiviti akan semakin menurun.

Keadaan ini akan menyebabkan kanak-kanak tersebut lebih suka mengasingkan diri daripada orang lain dan akan menimbulkan masalah apabila kanak-kanak tersebut mula memasuki alam persekolahan. Sekiranya ibu bapa dapat mengimbangkan antara memberi dorongan untuk melakukan perkara yang baik atau betul dan melarang melakukan perkara tidak baik, kanak-kanak akan dapat mengembangkan perasaan bermakna (strength of purpose).

4. INDUSTRI LAWAN RASA RENDAH DIRI (6 HINGGA 12 TAHUN)

Tahap keempat dalam Teori Perkembangan Psikosial Erikson ialah industri lawan rasa rendah diri (Industry versus Inferiority). Tanggungjawab kanak-kanak pada peringkat ini adalah mengembangkan perasaan industry atau rajin dan mengelak daripada berasa rendah diri (inferiority). Pada tahap ini, kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan, iaitu berada di sekolah rendah. Guru dan rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan kanak-kanak tersebut kerana sebahagian besar masa kanak-kanak dihabiskan di sekolah untuk bermain dan belajar.

Menurut Wong et al. (2013), pemikiran kanak-kanak mulai mencapai operasi konkrit dan berupaya membuat transformasi dan perhubungan antara dua situasi yang berkaitan dan mula berfikiran logik. Sekiranya kanak-kanak pada tahap ini diberikan sesuatu tugasan, mereka akan melakukannya dengan penuh minat dan tekun. Pihak guru dan ibu bapa harus sentiasa memberi dorongan dan pujian, serta mengurangkan kritikan terhadap kanak-kanak bagi mengelakkan wujudnya perasaan rendah diri pada kanak-kanak tersebut.

Hasil kerja dan tugasan kanak-kanak yang tidak dihargai akan mengurangkan keyakinan diri dan menimbulkan perasaan rendah diri, serta kanak-kanak akan beranggapan bahawa ibu bapa dan guru tidak dapat menerima segala kekurangan yang terdapat pada diri mereka. Sebagai contoh, murid yang lemah berusaha menyelesaikan operasi matematik, tetapi guru langsung tidak mengendahkan karenah murid tersebut dan hanya memfokuskan pengajaran terhadap murid yang pandai. Situasi sebegini akan melahirkan personaliti yang negatif, iaitu perasaan rendah diri, tidak berminat dalam pembelajaran, dan sikap mengasingkan diri.

Murid akan bersifat pasif dalam pembelajaran dan secara tidak langsung minat mereka terhadap pembelajaran akan menurun. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, guru boleh memberikan pujian dan dorongan kepada murid sebagai peneguhan positif untuk terus berusaha agar mengecapi kejayaan. Jika ibu bapa dapat mengimbkan antara memupuk kerajinan dengan mengurangkan rasa rendah diri dalam kalangan anak-anak, mereka akan lebih bersedia untuk bersaing dan menerima cabaran yang dihadapi.

5. IDENTITI LAWAN KEKELIRUAN IDENTITI (12 HINGGA 20 TAHUN)

Tahap kelima dalam Teori Perkembangan Psikosial Erikson ialah identiti lawan kekeliruan identiti (Identity versus Confusion). Tahap ini melibatkan remaja awal dan remaja akhir. Tugas remaja pada peringkat ini adalah untu kmendapatkan perasaan ego identity dan mengelak kekeliruan identiti. Ego Identity bermakna mengetahui siapa diri mereka sendiri dan bagaimana cara menyesuaikan diri dalam masyarakat mereka.

Pada peringkat ini, remaja akan cuba mewujudkan identiti diri remaja dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka, serta mulai membentuk konsep kendiri (Nur Najwa Solehah Hasan Ashaari et al., 2019). Sekiranya remaja mengalami konflik dengan ibu bapa, maka mereka tidak dapat melihat ibu bapa sebagai suri teladan dan menyebabkan mereka mengalami krisis kekeliruan identiti. Remaja akan berusaha untuk menyelesaikan krisis identiti ini dengan menguji pelbagai peranan.

Usaha remaja mencari identiti mungkin bertambah sukar dengan terdapatnya pelbagai pilihan. Menurut Nur Najwa Solehah Hasan Ashaari et al. (2019), pergaulan antara remaja dengan rakan sebaya akan mempengaruhi personaliti yang terbentuk kerana remaja yang memilih untuk bergaul secara bebas dengan rakan yang negatif akan berkecenderungan menjadi seorang yang negatif. Remaja bebas untuk bergaul sekiranya tiada pengawasan daripada ibu bapa, guru mahupun pihak masyarakat.

Pihak ibu bapa, saudara-mara, guru dan masyarakat setempat memainkan peranan yang penting dalam membentuk personaliti dan insaniah yang positif kerana peringkat ini merupakan peringkat terpenting dalam perkembangan personaliti seseorang individu. Oleh itu, mereka memerlukan seseorang untuk dijadikan sebagai suri teladan (role model). Sekiranya usaha ini gagal, mereka akan mula meragui peranan dan fungsi mereka dalam Masyarakat. Erikson mencadangkan supaya ibu bapa menggariskan upacara rites of passage atau upacara simbolik bagi menandakan seseorang kanak-kanak telah menjadi remaja.

6. KERAPATAN LAWAN PENGASINGAN DIRI (20 HINGGA 40 TAHUN)

Tahap keenam dalam Teori Perkembangan Psikosial Erikson ialah kerapatan lawan pengasingan diri (Intimacy versus Isolation). Peringkat ini memaparkan cara-cara lelaki dan perempuan cuba membentuk hubungan melalui pencarian pasangan hidup, bercinta, dan berkahwin. Menurut Erikson, individu mula membentuk hubungan yang akrab dan rapat terutama dengan rakan yang berlainan jantina. Mereka mula memikirkan soal teman hidup, percintaaan hinggalah membawa kepada dunia perkahwinan.

Menurut Sun dan Sun (2021), seseorang individu perlu berkemahiran untuk berkomunikasi dan bersosial dengan jantina yang berlainan supaya dapat mencari pasangan yang bersesuaian. Personaliti manusia yang positif akan terbentuk, iaitu komited dan bertanggungjawab dalam mengekalkan hubungan yang terjalin antara suatu pasangan. Namun, sekiranya krisis ini tidak diatasi, individu tersebut berkemungkinan membentuk perasaan kesunyian, pengasingan kendiri, dan membentuk perhubungan seksual yang negatif (chaotic sexual relations) (Hang, 2020).

Sebagai contoh, individu akan berasa cemburu dengan rakan sebaya mereka yang telah mendirikan rumah tangga dan baru melahirkan anak. Sikap negatif seperti perasaan cemburu berkemungkinan akan berubah menjadi kemurungan ataupun bertindak di luar daripada lokus kawalan mereka. Oleh itu, konflik yang perlu diatasi pada peringkat ini ialah golongan muda atau individu perlu berusaha mencari pasangan yang sesuai supaya dapat memberi komitmen sepenuhnya bagi mengelakkan terbentuknya personaliti yang negatif dalam diri mereka.

Mereka yang berjaya dalam krisis pada tahap ini akan memperolehi kekuatan psikososial yang dinamakan kasih sayang (love), bukan sahaja antara suami dengan isteri, tetapi juga kemesraan antara majikan dengan pekerja atau kemesraan dengan rakan.

7. GENERATIVITI LAWAN KERAGUAN KENDIRI (40 HINGGA 65 TAHUN)

Peringkat ketujuh dalam Teori Perkembangan Psikososial ialah generativiti lawan keraguan kendiri (Generativity versus Stagnation). Menurut Cherry (2021), peringkat ini berlaku semasa pertengahan dewasa dan perkara utama yang memberikan pengaruh kepada peringkat ini ialah perkahwinan, pekerjaan yang berjaya, dan pencapaian anak-anak yang membanggakan. Individu yang berjaya dalam peringkat ini akan berasa berpuas hati dan mempunyai tahap generativiti yang tinggi sekiranya menjalankan tugas, tanggungjawab dan memberi sumbangan kepada generasi masa hadapan, masyarakat dan negara.

Sebagai contoh, individu yang mempunyai tahap generativiti yang tinggi akan membentuk hubungan kekeluargaan yang baik dengan ahli keluarga, memberi sumbangan dan memberi tunjuk ajar kepada orang lain. Namun, keraguan kendiri akan berlaku sekiranya seseorang individu mementingkan diri sendiri dan tidak mahu melibatkan diri dengan orang lain, tidak mengambil minat terhadap sesuatu perkara yang berlaku serta tidak mahu mempertingkatkan diri sendiri.

Personaliti individu yang mementingkan diri sendiri dan tidak menyumbang kepada masyarakat akan berasa kecewa, mengalami perasaan tidak tenteram serta jiwa mereka mudah berasa kosong. Oleh itu, seseorang individu perlulah mengambil peluang untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan membuat kerja amal agar tidak mengalami kekosongan dan kekecewaaan.

8. KESEPADUAN LAWAN PUTUS ASA (65 TAHUN KE ATAS).

Peringkat terakhir dalam Teori Perkembangan Psikososial ialah peringkat kesepaduan lawan putus asa (Integrity versus Despair). Individu pada peringkat ini akan membuat refleksi terhadap kualiti kehidupan kendiri. Refleksi tentang kehidupan seperti kegagalan, kekecewaan dan kejayaan seseorang akan menyebabkan individu mempunyai perspektif diri sendiri yang jelas. Sebagai contoh, seseorang individu dalam peringkat ini akan bertanyakan soalan kepada diri sendiri mengenai apakah sumbangan atau perkara yang membanggakannya sepanjang tempoh kehidupannya.

Sekiranya individu tersebut berjaya mengatasi konflik-konflik pada tahap yang sebelumnya, individu itu akan membentuk rasa kesepaduan dalam dirinya. Sekiranya kehidupan individu dipenuhi dengan kegagalan dan peristiwa yang pahit, maka akan wujudnya perasaan putus asa dalam diri individu tersebut.

Kesimpulannya, Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson telah memperkenalkan lapan peringkat perkembangan personaliti dalam kehidupan seseorang manusia. Namun, peringkat perkembangan ini tidak semestinya mengikuti susunan yang ditetapkan. Menurut Gilleard dan Higgs (2015), manusia boleh mengalami perubahan dan cabaran pada masa yang berlainan dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, peringkat kerapatan lawan pengasingan diri tidak hanya berlaku ketika peringkat awal dewasa, tetapi turut berlaku pada peringkat lewat dewasa. Setiap peringkat mempunyai krisis yang perlu ditangani dan sokongan moral perlulah diberikan agar personaliti yang positif dapat terbentuk dalam jiwa masing-masing.

Cherry, K. (2021, April 2). The 8 Stages of Human Development. Very Well Mind. https://www.verywellmind.com/psychosocial-stages-2795743

Erikson, E.H. (1968). Identity YOUTH and Crisis. New York: National Book Award.

Gilleard & Higgs (2015). Connecting Life Span Development with the Sociology of the Life Course: A New Direction. Sociology, 50(2), 302-315. https://doi.org/10.1177/0038038515577906

Hang, G. (2020). Analysis of Adult Pernality Development from the Perspective of Erikson’s Psychosocial Development Theory. Writer’s World, 1(24), 192-193.

Irwan Mahazir Ismail, Siti Khadijah Anis, Selvan, T.S., Mohd Hasril Amiruddin, & Mohd Erfy Ismail (2017, November 9-10). Penerapan Elemen Perkembangan Kognitif, Psikomotor dan Sosio-Emosi dalam Permainan dalam Mencapai Objektif Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Kertas Pembentangan). International Conference on Engineering Education, Kanazawa, Japan.

Nur Najwa Solehah Hasan Ashaari, Siti Norhafiza Sumadi, Nur Aqilah Salleh, Naziera Izzaty Ismail, Nurul Ain Hayati Adenan, & Mohd Razimi Husin (2019). Masalah Pergaulan Bebas dalam Kalangan Remaja Sekolah. International Journal of Humanities, Management, and Social Science, 2(1), 38-50.

Rozita Wahab (2014). Perkaitan antara Perapatan Ibu Bapa, Perapatan Rakan Sebaya, Sokongan Sosial dan Keperdasan Emosi dalam Kalangan Delinkuen Melayu di Pusat Pemulihan Akhlak di Semenanjung Malaysia (Tesis Ijazah Sarjana). Serdang, Selangor: Universiti Putra Malaysia.

Sun, X. & Sun, T. (2021). Research on Lifelong Education Based on Erikson’s Psychosocial Development Theory. Advanced in Social Science, Education and Humanities Research, 582, 267-270.

Wong, K.W., Khairuddin Mohamad, Maridah Haji Alias, Rashinawati Abd Rashid, & Azlina Ahmad (2013). Siri Pendidikan Guru: Perkembangan Kanak-Kanak. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar.